KUALA NERUS, 13 Disember – Sebanyak 27 buah negara sudah mula berkampung di Terengganu hari ini sempena Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) bagi meneroka industri pelancongan setiap negara terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu buat julung kalinya menjadi tuan rumah kepada hampir 100 delegasi dari kesemua negara di Asia.

Katanya, perkara itu merupakan satu penghormatan besar untuk negeri dan pastinya ia akan mencetuskan satu perkara yang positif bagi rakyat keseluruhannya.

“Melihat kepada pelbagai latar belakang parti politik negara yang hadir hari ini, banyak perkara yang kita boleh bincang dan laksanakan demi manfaat negara dan rakyat bersama.

“Saya berharap pertemuan ini tidak menjadi yang terakhir sebaliknya ini adalah langkah permulaan yang terbaik bagi mencapai sesuatu yang positif di masa hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Makan Malam bersempena 1st Meeting Of The ICAPP Topic (Tourism Promotion And Inter City Cooperation Council) Terengganu Malaysia Kali Ke 2/2019 di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi dan Special Rapporteur ICAPP, Mushahid Hussain Sayed, Setiausaha Agung ICAPP, Park Ro-Byug dan Pengerusi ICAPP Topic, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Dalam pada itu, Mushahid Hussain menegaskan, persidangan selama tiga hari itu turut membincangkan beberapa lagi isu utama yang menjadi agenda setiap negara terbabit seperti peluang pekerjaan serta perihal sumber manusia dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

“Pelbagai inisiatif akan dan sedang diambil terhadap beberapa isu-isu yang penting dan kami sangat bersemangat setelah mendengar ucapan serta komitmen yang diberikan oleh Terengganu, perkara ini akan kita garapkan bersama pada setiap masa.

“Isu pelancongan juga sangat penting kerana ia berkait dengan ekonomi dan imej sesebuah negara, justeru ia akan diberi penekanan,” ujarnya.

Untuk rekod, persidangan ICAPP sudah dijalankan di Manila pada 2000, Bangkok (2002), Beijing (2004), Seoul (2006), Astana (2009), Phnom Penh (20100, Baku (2013), Colombo (2014) dan Kuala Lumpur (2016).

Ia sekali gus menjadikan Terengganu negeri pertama yang menganjurkan persidangan itu selepas kebiasaanya ia dijalankan di ibu kota sesebuah negara.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: