KUALA LUMPUR, 2 Dis – Sebanyak 3,110 pelajar di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerima manfaat daripada program Rintis ACES I4.0 Web App yang diadakan pada Julai lepas untuk mewujudkan kesedaran tentang industri 4.0 (I4.0).

Daripada jumlah itu, kira-kira 720 pelajar adalah dari Terengganu, Kelantan (1,084), Pahang (1,238) dan Mersing, Johor (68).

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam kenyataan memaklumkan Web Application dibangunkan oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) dan bertujuan menyediakan barisan bakat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan dalam industri teknologi tinggi di ECER.

ACES adalah inisiatif bersama ECERDC dan TUM International GmbH, peneraju dunia dalam membangunkan dan mengendalikan saintifik dan tapak perindustian serta pusat pemindahakn teknologi.

“ECERDC menjangkakan ACES akan menjadi pemangkin kepada penggunaan I4.0 di rantau ini dengan mewujudkan bakat yang berkemahiran, pekerjaan berkualiti dan peluang keusahawanan, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“ACES akan menjadi pemangkin untuk perbangunan I4.0 di ECER menerusi inisiatif dan perkongsian strategi ‘industri-akademi-kerajaan’. Ini akan menyokong lonjakan ECER ke dalam ekonomi I4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ACES Datuk Ragu Sampasivam.

Menyasarkan pelajar lepasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Akademik empower ECER, para pelajar akan dibantu oleh ACES sepanjang program perintis itu yang memperkenalkan mereka kepada aplikasi I4.0 dan prospek kerjaya dalam pelbagai bidang.

Program perintis itu juga akan mengalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar, mereka boleh menguji sendiri aplikasi itu dan menghadiri kelas dalam talian sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

“Dengan mendekati secara langsung dan mendedahkan pelajar kepada konsep dan teknologi utama I4.0, ECERDC berharap program ini akan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diperlukan supaya mereka mendapat manfaat daripada peluang dan ‘pekerjaan masa hadapan’.

“Membangunkan barisan bakat ini akan menyokong ECERDC untuk mengubah ECER kepada ekonomi dipacu produktiviti yang akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan penggunaan I4.0″, kata Ragu.

Program itu juga diperakui oleh empat menteri besar di negeri ECER yang turut meluangkan masa dengan pelajar meneroka Web Application semasa program perintis itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob memuji program itu kerana ia menyediakan modul komprehensif bagi membolehkan peserta mendapat pengetahuan dan kemahiran dalam I4.0 yang penting untuk kemajuan masa hadapan.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa agar program itu diteruskan kerana ilmu I4.0 akan memberi daya tahan dan kelebihan daya saing kepada belia Terengganu dan membolehkan mereka menjadi rakan strategik kepada pembangunan negeri.

Bagi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wab Rosdy Wan Ismail pula, program itu menyediakan belia di Pahang mendahului keluk I4.0 akan menempuh cabaran masa hadapan manakala Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata program itu berpontensi besar dan berharap ia menerima sokongan daripada semua pihak kerana ilmu I4.0 akan memacu pendigitalan bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara.

Menurut ECERDC, ACES bercadang melaksanakan program itu di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan juga sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Johor untuk melancarkan fasa dua program di negeri itu.

Dalam pada itu, peserta Program Rintis ACES I4.0 Web App Tuan Nurul Eman Tuan Mansor berkata I4.0 adalah kaedah masa hadapan dan semua aspek kehidupan akan dikaitkan dengannya dalam beberapa cara atau selainya, justeru pengetahuan mengenai I4.0 adalah penting terutamanya dalam mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

ECERDC adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 dengan memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosioekonomi ECER.

ECER merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor dan kini berkembang pesat sebagai destinasi yang dinamik dan kompetitif untuk pelaburan.

Sumber : BERNAMA

Jom kongsikan: