KUALA TERENGGANU, 28 November– Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merekodkan seramai 48,422  penduduk di negeri ini masih lagi memerlukan bantuan wang zakat untuk meneruskan kehidupan harian.

Daripada jumlah itu, seramai 43,409 yang disenaraikan miskin dan 5,013 individu sebagai fakir layak menerima bantuan kelengkapan dapur secara bulanan dan  skim bantuan modal berdikari.

Bantuan zakat masih diperlukan golongan itu kerana kebanyakan penerima masih kekal berada di bawah paras kemiskinan, berikutan tidak mampu bekerja, menghidap penyakit kronik, Orang Kurang Upaya,   cacat akibat kemalangan dan sebagainya

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah, berkata Maidam dengan kerjasama beberapa agensi sentiasa mengambil cakna perihal golongan asnaf agar tidak terus dihimpit kemiskinan.

Katanya, pihak itu turut memaklumkan kepada masyarakat agar mengambil cakna perihal jiran dan meminta pegawai memantau dan mengadakan lawatan daripada masa ke semasa.

“Pada masa sama, meminta  bantuan amil zakat melaporkan pemasalahan penduduk miskin di kawasan masing-masing. Maidam turut  menjadi ahli mesyuarat pemantauan penduduk di setiap daerah .

“Langkah itu bertujuan mengelak mana-mana masyarakat yang benar-benar layak di negeri ini tercicir untuk menerima bantuan zakat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ab Razak Ibarahim- (Air Putih-PAS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Oleh : Suriati Ali | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: