KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Kerajaan Negeri telah meluluskan pembiayaan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM942,442.60 kepada 84 usahawan di bawah Tabung Usahawan  Sejahtera (TUGAS).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia , Industri Micro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dari jumlah itu sebanyak  RM525,000 diperuntukkan kepada 36 penerima di bawah Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T).

Menurutnya, seramai 19 penerima turut dibiayai di bawah Skim Pembiayaan Tabung Siti Khadijah berjumlah RM245,000.

Katanya, seramai 15 penerima lain memperoleh pembiayaan Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT)berjumlah RM57,241.

Sementara itu menurutnya, seramai 10 penerima dari Orang Kurang Upaya (OKU) dibiayai di bawah Dana Prihatin Terengganu (D-Hati).

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Majlis Penyampaian Mock Up Cek TUGAS Kali Ke 3 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan di sini hari ini.

 Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, seorang usahawan lelaki menerima Skim Pembiayaan Mobile Truck (SPMT) sebanyak RM40,000.

Sementara dua usahawan lain mendapat pembiayaan Skim Pembiayaan TUGAS (PERANTAU) bernilai RM25,000.

“Yang terakhir seorang usahawan wanita menerima Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) sebanyak RM10,000,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM26,576,467.65 untuk membiayai perniagaan bagi 2,410 usahawan Terengganu sejak bulan Januari 2002 hingga hari ini.

Menjawab satu soalan pemberita Mohd Nurkhuzaini berkata, setakat ini pembayaran balik pinjaman itu berjalan dengan lancar dan ia tidak menjadi masalah besar kepada kerajaan.

Bagaimanapun ketika berucap di majlis itu beliau menyeru para usahawan supaya membuat pembayaran balik secara berjadual bagi memberi peluang usahawan lain memanfaatkan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah itu.

Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: