KUALA TERENGGANU: Taman Biopolimer Kertih (KBP) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di kawasan seluas 140 hektar di Kemaman berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.2 bilion, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, jumlah itu membabitkan pembangunan Fasa 1 dan 2 yang telah diduduki sepenuhnya oleh sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE).

Katanya, pelbagai usaha akan ditingkatkan bagi menarik lagi pelaburan di samping memacu pertumbuhan industri petrokimia khusus itu termasuk dengan membangunkan Fasa 4 di kawasan tambahan seluas 160 hektar.

“Baru-baru ini, KBP berjaya menarik pelaburan sebanyak RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu dan ia dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, semalam.

Baidzawi berkata, Terengganu menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion menerusi ECERDC tahun ini berdasarkan rekod setakat 15 November lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, projek sistem solar hibrid di Pulau Kapas, Marang yang dikendalikan ECERDC kini siap sepenuhnya sebagai persediaan menerima kehadiran pelancong selepas musim tengkujuh.

Baidzawi berkata, antara projek-projek lain yang telah siap termasuk tanjung buatan 5 di Pantai Teluk Lipat, Dungun di samping kerja penambahbaikan di Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

“Pada tahun depan, di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), ECERDC akan membangunkan KTCC Promenade Fasa 1 diikuti KBP Fasa 4 dan Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu Pakej 2.

“Kita juga sedang meneroka potensi Tasik Kenyir untuk diiktiraf sebagai geopark dan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menarik pelabur swasta untuk melabur dalam membangunkan Tasik Kenyir,” katanya.

Oleh : Rosalinda Md Said | Sumber : Utusan Malaysia

Jom kongsikan: