KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Presiden pertama Kolej al-Quran Terengganu (KUQT) berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan Menteri Besar Terengganu itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat sempena Majlis Pengisytiharan Presiden dan Imaratul Ilmi Konvokesyen ke-1 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini.

Satiful dalam dalam ucapannya berkata, pengisytiharan yang dibuat pastinya akan melonjakkan lagi prestasi KUQT sebagai pusat al-Quran di Terengganu.

“Keprihatinan Menteri Besar ibarat sinar yang memacu kegemilangan dan kecemerlangan KUQT sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam.

“Sekali gus KUQT mampu lebih berdaya saing dan memberi sumbangan kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam majlis konvokesyen berkenaaan, seramai 591 graduan melibatkan Diploma, Sijil Kuliyyah al-Quran dan Sijil Seni Khat Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) diraikan.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: