Category :

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Kerajaan negeri akan terus memperkasakan kolej kemahiran sebagai pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ini kerana latihan dan kemahiran yang ditawarkan dilihat mampu memenuhi keperluan industri dan secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Oleh itu, kerajaan negeri secara serius membuat seruan terbuka kepada anak-anak muda lelaki dan perempuan supaya sahut seruan dan isi ruang-ruang yang ada untuk manfaat kemahiran yang ditawarkan.

“Kita akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia di negeri ini dalam bidang kemahiran bagi memastikan keperluan industri akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu dan menyaksikan Majlis Menandatangani (MoU) di Lot PT 4048 (G), Blok E, Ladang Tok Pelam, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri; Satiful Bahri Mamat; Pengerusi KKYT, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim.

Pada majlis yang sama,  MoU usahasama KKYT turut ditandatangani antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ( JHEAT), Kolej Al Quran Terengganu ( KQT), Masjid Al Muktafi Billah Shah, Masjid Abidin Kuala Terengganu dan Tegas Venture Resources.

Ahmad Samsuri juga berkata kerjasama pihak industri dan kolej kemahiran yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan tara penawaran dengan permintaan (demand and supply).

Menurutnya, jalinan ini bagi membantu kolej kemahiran di negeri ini menyediakan keperluan kursus-kursus berbentuk islamik dan berteraskan kepada kehendak industri.

Oleh : Mastura Jamal Din | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: