KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Dua anak kelahiran Terengganu, Mohd Harrif Saleh serta Muhammad Nur Aiman Zariff melakar sejarah baharu dalam sukan berbasikal negara dan Asia selepas meraih kejayaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang berakhir semalam.

Harrif, 31, menutup mulut pengkritik apabila dia menjadi pelumba Asia pertama meraih tiga kejuaraan podium sejak mula menyertai LTdL pada 2008 walaupun LTdL kali ini turut disertai pasukan berbasikal berstatus dunia.

Dua kejuaraan podium digondol tahun ini iaitu peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh, sebelum meraih kemenangan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar.

Kejayaan tersebut mengulangi sejarah yang diciptanya bagi saingan LTdL 2019 apabila turut memenangi saingan peringkat selepas sembilan tahun pelumba Malaysia gagal menjuarainya.

Pecutan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu menyaksikan dia menafikan kehebatan jaguh pecut, Maximillian Walschield.

Anak jati Kampung Ladang tersebut membuktikan fizikalnya yang lebih kecil berbanding lawan bukannya penghalang untuk dirinya mengenepikan jaguh Eropah.

“Memang saya akui telah sampai tahap boleh bersaing dengan mereka. Saya rasa kami sudah setaraf,” ujarnya.

Sementara itu, Aiman, 23, daripada Sapura Cycling Team (TSC) meletakkan dirinya sebaris dengan pelumba luar negara selepas unggul menyarung Jersi Merah selaku Raja Bukit pada LTdL edisi ke-25.

Kejayaan anak peniaga pasar malam dari Setiu itu turut menjadikan dirinya muncul sebagai atlet sulung kebangsaan meraih gelaran itu.

“Memang tidak menyangka kejayaan ini. Alhamdulillah dapat mencipta sejarah untuk rakyat Malaysia,” katanya yang juga pernah bersama TSG.

Lebih manis, sejarah yang dicipta Harrif dan Aiman melepasi serta menyamai rekod dua pelumba negara, Annuar Manan, yang pernah menyarung Jersi Hijau Raja Pecut pada LTdL 2010 dan Adeq Husaini Othman dengan Jersi Putih Terbaik Asia (2016).

Keempat-empat pelumba berkenaan berasal dari Terengganu sekali gus menjadikan Terengganu kekal sebagai ‘kilang’ menghasilkan pelumba berkualiti untuk Malaysia di pentas antarabangsa.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: