KUALA TERENGGANU, 27 November – Sejumlah 85,000 penerima pakaian dan peralatan sekolah Terengganu disusun semula oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri bagi memastikan mereka yang layak mengambil manfaat dari bantuan kerajaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, jika dikira seramai 2,600 pelajar setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memperoleh manfaat dari bantuan kerajaan itu lebih dari jangkaan golongan sasar di bawah keluarga berpendapatan RM1,100 sebulan di Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri akan mula menyerahkan bantuan itu kepada pelajar terbabit mulai bulan depan.

Menurutnya kini kerajaan dalam proses mendapatkan ukuran pakaian sesuai dengan pelajar supaya mereka selesa dengan pakaian yang bakal diterima sebelum Januari depan.

“Saya merasakan jumlah 2,600 penerima setiap DUN itu masih ramai melebihi golongan sasar iaitu mereka yang benar-benar miskin dan yang memerlukan bantuan tersebut.

“Kerajaan negeri hari ini mengenakan syarat supaya hanya pelajar yang keluarga mereka mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM1,100 sebulan sahaja diterima sebagai mereka yang layak menerima bantuan terebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Ucapan Belanjawan 2020 di Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, kerajaan mengerahkan pelajar mengukur saiz pakaian masing-masing ketika mereka tidak terbabit dengan sebarang peperiksaan di sekolah.

“Di samping itu tidak semua dikerah untuk hadir ke majlis penyerahan pakaian sekolah kerana MPKK sendiri akan berkunjung ke rumah-rumah pelajar terbabit bagi menyerahkan pakaian dan peralatan sekolah.

“Yang terlibat mungkin dalam 100 orang di kawasn berhampiran dengan majlis penyampaian bantuan tersebut,” ujarnya.

ADUN Paka itu berkata, kos bantuan setiap orang ialah RM100 termasuk pakaian, beg sekolah, kasut dan sarung kaki.

“Kerajaan memberi bantuan berbentuk pakaian dan peralatan sekolah bagi mengelakkan ia disalahgunakan jika diberi bantuan dalam bentuk wang,” ujarnya lagi.

Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: