Kenyataan Media
Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman
Bantuan Segera RM 2.79 Juta Bagi Membantu Masalah Air Berangan
Kejadian paip pecah di dasar sungai yang menjejaskan bekalan air kepada rakyat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus amat mendukacitakan. Kejadian kali ini berlaku pada lokasi yang berbeza daripada yang sebelum ini.
Jawatankuasa Siasatan masih membuat siasatan untuk kes pertama yang lalu dan saya mengarahkan agar terma siasatan dipanjangkan untuk kes yang kedua bagi merencanakan tindakan jangka masa panjang.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembinaan paip di dasar sungai berkenaan telah dibina pada tahun 2003 dan mula digunakan pada tahun 2006.
Bagi penyelesaian sementara bekalan air dipulihkan, Kerajaan Negeri telah berbincang dengan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI). Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk :-
1. Menyalurkan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada SATU sebanyak RM 1.04 juta kepada semua 104 JPKK yang terlibat bagi tujuan penyampaian bekalan air harian kepada semua 29,151 akaun pengguna. Bantuan ini akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras .
2. Menyediakan bantuan CSR daripada SATU sebanyak RM 500 ribu untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan yang terlibat. Bantuan ini juga akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras mengikut jumlah penduduk dan pengguna di setiap kawasan.
3.Membekalkan air minuman dalam kotak berjumlah RM 1.25 juta kepada semua rumah terlibat.
4.Memastikan bekalan air bersih akan dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan air bersih sehingga kejadian ini dapat diselesaikan.
Sama-samalah kita doakan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan urusan harian mereka yang terlibat dipermudahkan.
Sekian, terima kasih.
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
25 Ogos 2021
Jom kongsikan: