09-6276614 mb@terengganu.gov.my
Ikuti Kami:
drsamsuri.com drsamsuri.com
  • Utama
  • Kenali
    • Menteri Besar
    • Exco Kerajaan Negeri Terengganu
  • Berita
    • Kenyataan Media
    • Viral
    • Isu Semasa
    • Manifesto & Bajet
    • Royalti
    • Ekonomi
    • Pembangunan
    • Masyarakat
      • Belia
    • Sukan
    • Pendidikan
    • Pelancongan
    • Pertanian
    • Teknologi
    • PAS Terengganu
    • Rencana Pilihan
    • Tiada Kategori
  • PITAS 2030
  • Warta Darul Iman
  • Galeri
    • Gambar Rasmi
    • Foto
    • Video
    • Poster
  • Hubungi
  • 07/12/2021
  • In: Belia

3,110 Pelajar dapat manfaat Program Web Application ECERD

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Sebanyak 3,110 pelajar di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerima manfaat daripada program Rintis ACES I4.0 Web App yang diadakan pada Julai lepas untuk mewujudkan kesedaran tentang industri 4.0 (I4.0).

Daripada jumlah itu, kira-kira 720 pelajar adalah dari Terengganu, Kelantan (1,084), Pahang (1,238) dan Mersing, Johor (68).

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam kenyataan memaklumkan Web Application dibangunkan oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) dan bertujuan menyediakan barisan bakat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan dalam industri teknologi tinggi di ECER.

ACES adalah inisiatif bersama ECERDC dan TUM International GmbH, peneraju dunia dalam membangunkan dan mengendalikan saintifik dan tapak perindustian serta pusat pemindahakn teknologi.

“ECERDC menjangkakan ACES akan menjadi pemangkin kepada penggunaan I4.0 di rantau ini dengan mewujudkan bakat yang berkemahiran, pekerjaan berkualiti dan peluang keusahawanan, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“ACES akan menjadi pemangkin untuk perbangunan I4.0 di ECER menerusi inisiatif dan perkongsian strategi ‘industri-akademi-kerajaan’. Ini akan menyokong lonjakan ECER ke dalam ekonomi I4.0,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ACES Datuk Ragu Sampasivam.

Menyasarkan pelajar lepasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Akademik empower ECER, para pelajar akan dibantu oleh ACES sepanjang program perintis itu yang memperkenalkan mereka kepada aplikasi I4.0 dan prospek kerjaya dalam pelbagai bidang.

Program perintis itu juga akan mengalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar, mereka boleh menguji sendiri aplikasi itu dan menghadiri kelas dalam talian sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

“Dengan mendekati secara langsung dan mendedahkan pelajar kepada konsep dan teknologi utama I4.0, ECERDC berharap program ini akan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diperlukan supaya mereka mendapat manfaat daripada peluang dan ‘pekerjaan masa hadapan’.

“Membangunkan barisan bakat ini akan menyokong ECERDC untuk mengubah ECER kepada ekonomi dipacu produktiviti yang akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan penggunaan I4.0″, kata Ragu.

Program itu juga diperakui oleh empat menteri besar di negeri ECER yang turut meluangkan masa dengan pelajar meneroka Web Application semasa program perintis itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob memuji program itu kerana ia menyediakan modul komprehensif bagi membolehkan peserta mendapat pengetahuan dan kemahiran dalam I4.0 yang penting untuk kemajuan masa hadapan.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa agar program itu diteruskan kerana ilmu I4.0 akan memberi daya tahan dan kelebihan daya saing kepada belia Terengganu dan membolehkan mereka menjadi rakan strategik kepada pembangunan negeri.

Bagi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wab Rosdy Wan Ismail pula, program itu menyediakan belia di Pahang mendahului keluk I4.0 akan menempuh cabaran masa hadapan manakala Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata program itu berpontensi besar dan berharap ia menerima sokongan daripada semua pihak kerana ilmu I4.0 akan memacu pendigitalan bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara.

Menurut ECERDC, ACES bercadang melaksanakan program itu di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan juga sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Johor untuk melancarkan fasa dua program di negeri itu.

Dalam pada itu, peserta Program Rintis ACES I4.0 Web App Tuan Nurul Eman Tuan Mansor berkata I4.0 adalah kaedah masa hadapan dan semua aspek kehidupan akan dikaitkan dengannya dalam beberapa cara atau selainya, justeru pengetahuan mengenai I4.0 adalah penting terutamanya dalam mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

ECERDC adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 dengan memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosioekonomi ECER.

ECER merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor dan kini berkembang pesat sebagai destinasi yang dinamik dan kompetitif untuk pelaburan.

Sumber : BERNAMA

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Ekonomi

Hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir beroperasi Jun 2022

KUALA TERENGGANU: Tasik Kenyir bakal menawarkan satu lagi tarikan baharu kepada pengunjung apabila hotel lapan tingkat di Pulau Poh dijangka beroperasi menjelang Jun tahun depan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanudin Hilmi Mohamed berkata, penginapan 150 bilik itu djadualkan siap sepenuhnya akhir bulan ini dengan tahap kemajuan semasa sudah melebihi 90 peratus.

Katanya, proses seterusnya yang akan dilaksanakan bermula suku pertama tahun depan adalah mencari operator bagi menguruskan hotel tiga bintang berkenaan.

“Kita sudah mengenal pasti banyak pengusaha dengan keutamaan diberikan kepada nama-nama besar, namun, tidak bermakna usahawan tempatan dipinggirkan, malah, mereka boleh menghantar kertas cadangan jika berminat untuk menjadi operator hotel itu.

“Harapan kita agar operator hotel terpilih kelak dapat mengendalikan sekali pengurusan taman tema air, Kenyir Waterpark sebagaimana model yang dilaksanakan pengusaha di  Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis minum petang bersama pengamal media Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Burhanudin Hilmi berkata, Kenyir Waterpark akan kembali beroperasi sebelum pertengahan 2022 selepas sekian lama ditutup.

Katanya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih taman tema air itu di samping turut melihat potensi untuk membuka pusat beli-belah di sekitar kawasan jeti baharu.

“Selain percutian rumah bot, jambatan ikonik di Tasik Kenyir turut menarik kunjungan ramai dan kita percaya pembukaan hotel, taman tema air di samping pusat beli-belah kelak akan merancakkan lagi kedatangan pelancong ke sini,” katanya.

Oleh : Rosalinda Md Said | Sumber : Utusan

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Isu Semasa

Pendapatan GLC Terengganu, TDM Meningkat Sembilan Peratus

KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pendapatan anak syarikat kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2021 meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding 2020.

Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, pencapaian memberangsangkan itu disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang tinggi direkodkan oleh bahagian penjagaan kesihatan dan perladangan.

“Masing-masing sebanyak RM6.5 juta dan RM4.2 juta, atau peningkatan sebanyak 13 dan 16 peratus.

“TDM juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM18.9 juta ketika suku tersebut, berbanding RM27.7 juta (termasuk keuntungan one-off RM21.8 juta) ketika suku yang sama di tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, pendapatan TDM bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 turut meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ujarnya, ia juga adalah hasil peningkatan pendapatan oleh bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 12 peratus atau RM16.7 juta dan bahagian perladangan sebanyak 10 peratus atau RM16.0 juta.

“TDM juga mencatatkan peningkatan PBT yang ketara sebanyak RM14.3 juta, lebih daripada dua kali ganda angka yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

”PBT sebanyak RM27.7 juta dan RM5.8 juta bagi suku ketiga 2020 dan sembilan bulan berakhir 2020, masing-masing adalah termasuk keuntungan ‘one-off’ atas pembelian bernilai RM21.8 juta daripada pemerolehan TDM-YT Plantation Sdn. Bhd,” tambah beliau.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : TRDI

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Ekonomi

ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Terengganu menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan direkodkan sehingga bulan lepas.

“Tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.

“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal.

“KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini.

“Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik.

“Sebanyak 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini,” katanya lagi.

Jelasnya, sasaran ECERDC adalah pertumbuhan industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.

Oleh : Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri | Sumber : TRDI

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Isu Semasa

Tanam Nanas Di Tanah Terbiar, Kaut Hasil RM14.4 Juta

SETIU, 5 Disember – Projek tanaman nanas MD2 di tanah terbiar seluas 350 ekar di Kampung Pak Kancil di sini bakal memberi pulangan sebanyak RM14.4 juta pada Februari 2023.

Buat permulaan sebanyak 1.8 juta pokok MD2  akan ditanam di kawasan 60 ekar melibatkan 30,000 pokok yang akan diuruskan oleh lapan peserta terdiri daripada penduduk setempat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek itu merupakan usahasama antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan pelaburan sebanyak RM10 juta.

Katanya, penanaman nanas berskala besar itu bakal membuka peluang  pekerjaan kepada komuniti setempat dan mampu melahirkan lebih ramai  usahawan tani pada masa hadapan.

“Melalui projek sama, satu Program Usahawan Tani akan dibangunkan melibatkan penyertaan usahawan nanas dari kalangan penduduk setempat berumur 18 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan penawaran pendapatan tetap sebanyak RM6,000 sebulan.

“Usahawan Nanas MD2 yang menyertai  selama tiga tahun bakal memperoleh pelbagai manfaat.

“Antaranya diberi sejumlah dua ekar tanah yang bertanam, jaminan hasil yang akan dibeli oleh pihak TADC dan Ras Tanura, khidmat nasihat, tunjuk ajar serta bantuan mudah cara pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim dan Pegawai Daerah Khidmat Pengurusan Pejabat Daerah Setiu, Rosli Latif.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain sektor industri pertanian dalam menjamin dasar kecukupan bekalan makanan.

“Hingga kini pelbagai bentuk bantuan, projek atau program bagi menjamin kecukupan bekalan makanan khususnya untuk rakyat Terengganu telah disalurkan,” katanya.

Oleh : Suriati Ali | Sumber : TRDI

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Ekonomi

Projek nanas MD2 tarik pelaburan RM10 juta

SETIU: Tahun Pertanian Terengganu 2021 telah mewujudkan impak yang besar terhadap sektor pertanian terutama terhadap program dan projek pertanian di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata di peringkat kerajaan negeri telah dibangunkan Pelan Strategik Pertanian 2019-2023 dengan pelbagai inisatifnya.

Antaranya, kata beliau fokus kepada penggunaan tanah terbiar secara maksimum untuk kecukupan bekalan makanan bagi meningkatkan ekonomi rakyat di Terengganu.

“Data daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menunjukkan kita mempunyai 8,000 hektar tanah terbiar, yang berpotensi untuk dimajukan. Banyak negeri di Malaysia ini sudah tidak ada tanah-tanah kosong di negeri maju sebelah Pantai Barat.

“Di Terengganu ini masih banyak tanah terbiar untuk dimaju dan dimanfaatkan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 di Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Kampung Pak Kancil, semalam.

Menurutnya, pada Jun 2021 lalu, kerajaan ini telah mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, sekaligus menjadi pemangkin kepada ekonomi negeri Terengganu.

Ini kerana, kata Dr Samsuri, beberapa faktor kerana daerah Setiu ini mempunyai 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan dan berpotensi untuk diusahakan oleh rakyat tempatan dan menjadi daya tarikan syarikat luar dalam membuat pelaburan menerusi sektor pertanian di negeri Terengganu.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu khususnya penduduk Setiu rebutlah peluang keemasan ini. Kita juga amat berharap, lebih banyak pihak terlibat dengan penanaman nanas khususnya jenis MD2 yang masih kurang hasilnya tetapi mempunyai permintaan yang tinggi.

“Projek Penanaman Nanas MD2, keluasan tanah di sini (Setiu) 350 ekar dengan penanaman sedia ada 164 ekar. Projek ini usahasama antara syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan pelabur dari Syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan nilai pelaburannya sebanyak RM10 juta.

“Melalui projek ini, satu usahawan tani akan dibangunkan melibatkan usahawan nanas dari kalangan penduduk daerah Setiu, yang berumur 18 hingga 50 tahun, yang tidak mempunyai pendapatan tetap dengan penawaran pendapatan sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, insya-Allah,” jelasnya.

Menurut beliau, usahawan nanas yang mengusahakan tanaman itu bakal memperolehi manfaatnya iaitu pertama, sejumlah dua ekar tanah tanah untuk diusahakan, kedua jaminan hasil yang akan dibeli TADC dan Ras Tanura Sdn. Bhd, ketiga khidmat nasihat serta tunjuk ajar dan keempat, bantuan mudah untuk pinjaman.

Harakahdaily dimaklumkan, ladang nanas itu berkeluasan 344 hektar akan dibangunkan dengan tanaman nanas MD2 yang bakal menjadi ladang terbesar di negeri Terengganu.

Projek itu juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dan B40 sekali gus mewujudkan ruang perniagaan melibatkan sektor pertanian dalam kalangan penduduk setempat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Tengku Sri Bajiya Raja, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Saharizulkirnain Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permint, Wan Adnan Wan Deraman, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif selaku Pengerusi Pengeluaran Gedung Negeri Terengganu dan Pengarah Urusan Ras Tanura Sdn. Bhd, Ir Khairi Hassan.

Oleh : Khairul Azlam Mohamad | Sumber : HarakahDaily

  • LikeUnlikeLike
  • 06/12/2021
  • In: Ekonomi

MB: Idle land in Setiu turned into largest MD2 pineapple farm in Terengganu

SETIU, Dec 5 — Some 140 hectares of idle land in Kampung Pak Kancil here will soon be turned into the first large-scale MD2 pineapple planting project in Terengganu.

Terengganu Mentri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar said the project was a collaboration between the state government, its subsidiary, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) and a local investment company.

He said the project complemented the state government’s plan to turn Setiu district into Terengganu’s Food Production Centre and was a success of their idle land rehabilitation programme.

“We have high hopes that this project will succeed in making Setiu the main producing district of MD2 pineapples in Terengganu and for the villagers who are participants here, there are several benefits that they stand to gain.

“This includes being able to cultivate 0.8 hectares of land with MD2 pineapples, agricultural guidance by TADC, priority for agricultural financing and projected incomes of between RM5,000 and RM6,000 a month after their harvest,” he said when officiating the project here today.

The MD2 pineapple project is part of 87 activities planned for Terengganu State Agriculture Year 2021.

Meanwhile, state Agriculture, Food Industry, Plantation, Commodity and Rural Development Committee chairman Dr Azman Ibrahim said eight villagers were selected as initial participants of the programme.

“In every agricultural development project, we do not want the villagers to just be coolies or labourers. That is why we allocate a special quota for them to also become agri-entrepreneurs so that they can learn something through the transfer of knowledge and technology from investment companies.

“According to the data we obtained, almost 70 per cent of Terengganu residents are involved in agriculture, livestock and fisheries but especially in Setiu, where more than 85 per cent of the population are involved in these three areas… that’s why we focus on so many projects here so that the district’s economy will also be developed just like other districts,” he said.

Sumber : The Malay Mail

  • LikeUnlikeLike
  • 02/12/2021
  • In: Ekonomi

Taman Biopolimer Kertih tarik pelaburan RM5.2 bilion

KUALA TERENGGANU: Taman Biopolimer Kertih (KBP) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di kawasan seluas 140 hektar di Kemaman berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.2 bilion, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, jumlah itu membabitkan pembangunan Fasa 1 dan 2 yang telah diduduki sepenuhnya oleh sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE).

Katanya, pelbagai usaha akan ditingkatkan bagi menarik lagi pelaburan di samping memacu pertumbuhan industri petrokimia khusus itu termasuk dengan membangunkan Fasa 4 di kawasan tambahan seluas 160 hektar.

“Baru-baru ini, KBP berjaya menarik pelaburan sebanyak RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu dan ia dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, semalam.

Baidzawi berkata, Terengganu menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion menerusi ECERDC tahun ini berdasarkan rekod setakat 15 November lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, projek sistem solar hibrid di Pulau Kapas, Marang yang dikendalikan ECERDC kini siap sepenuhnya sebagai persediaan menerima kehadiran pelancong selepas musim tengkujuh.

Baidzawi berkata, antara projek-projek lain yang telah siap termasuk tanjung buatan 5 di Pantai Teluk Lipat, Dungun di samping kerja penambahbaikan di Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

“Pada tahun depan, di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), ECERDC akan membangunkan KTCC Promenade Fasa 1 diikuti KBP Fasa 4 dan Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu Pakej 2.

“Kita juga sedang meneroka potensi Tasik Kenyir untuk diiktiraf sebagai geopark dan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menarik pelabur swasta untuk melabur dalam membangunkan Tasik Kenyir,” katanya.

Oleh : Rosalinda Md Said | Sumber : Utusan Malaysia

  • LikeUnlikeLike
  • 02/12/2021
  • In: Ekonomi

ECERDC tarik pelaburan RM2.9 bilion ke Terengganu

PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak  pelaburan ke Terengganu dengan tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.

KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik  Pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini dengan kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah  diduduki sepenuhnya, manakala Fasa 3 telah dibina dan siap tahun lepas.

Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik. Sebanyak 98%  daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan  Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini.

ECERDC turut menyasarkan pertumbuhan dalam industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.

Menteri Besar Terengganu Datuk’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu hari ini, memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan ke Terengganu.

Beliau berkata, kejayaan KBP membuktikan bahawa strategi ekonomi yang sesuai dan pembangunan infrastruktur  pengupaya telah menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik.

“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu.

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi
Che Mat.

Sehingga 15 November 2021, Terengganu telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion menerusi ECERDC bagi tahun 2021. Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang  keusahawanan.

Dalam menyokong pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), ECERDC  juga telah membantu menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula di bawah program PENJANA-ECERDC bagi meningkatkan kebolehpasaran khususnya untuk mereka yang menganggur disebabkan pandemik.

Program ini juga menjadi daya tarikan kepada para pelabur di ECER di mana PENJANA akan menyediakan subsidi  untuk menampung sebahagian daripada kos latihan di tempat kerja.

Pada masa yang sama, berikutan kejayaan program rintis Aplikasi Web ACES I4.0, Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) yang ditubuhkan oleh ECERDC kini memainkan peranan untuk melatih para peserta menerusi program ACES-ECER Jobs Train & Place.

Program ini adalah salah satu program PENJANA yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pemahiran semula graduan yang menganggur dan lepasan SPM yang berminat memulakan kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 800 orang peserta dari wilayah ECER dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80%.

Sehingga kini, seramai 84 orang peserta dari Terengganu telah dilatih dan kesemua peserta berjaya mendapat pekerjaan dalam industri ICT.

Di Terengganu, seramai 1,200 orang lepasan SPM dari enam buah daerah, iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Setiu, telah menyertai Program Akademik empower ECER.

“Bagi ECERDC, program Latihan Akademik empower ECER bukan sahaja mementingkan tentang pencapaian SPM tetapi juga menitikberatkan usaha bagi memastikan setiap peserta meneruskan perjalanan pendidikan mereka ke institusi pengajian tinggi dan teknikal.

“Sehingga kini, 98% atau seramai 1,174 orang peserta program telah mendapat tempat untuk meneruskan pelajaran. Ini adalah selaras dengan matlamat ECERDC untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir di ECER,” kata Baidzawi.

Disamping itu, ECERDC juga menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan memastikan semua peserta program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER menerima vaksin sebelum memulakan program.

Oleh : Media Mulia | Sumber : Utusan Online

  • LikeUnlikeLike
  • 24/11/2021
  • In: Belia

MB Terengganu turut kecewa mutu pengadilan

Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan ketika pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), bagaimanapun memuji semangat kental dipamerkan pemain skuad Penyu walaupun adakalanya permintaan mereka tidak dilayan pengadil.

“Tahniah TFC atas kesungguhan yang dipamerkan. Walaupun terikat dengan jaringan satu sama, ia bukan penghalang untuk pemain bangkit dalam perlawanan kedua nanti. Diharapkan mutu pengadilan lebih baik untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri,” tulis Menteri Besar Terengganu dalam laman Instagramnya hari ini.

Terdahulu pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa mengenai mutu pengadilan yang disifatkan baginda cukup teruk.

Pada aksi berkesudahan seri 1-1 itu hasil jaringan Jordan Mintah bagi pasukan TFC pada babak pertama dan Bergson Da Silva, JDT pada separuh masa kedua, sekurang-kurangnya tiga insiden membabitkan pemain JDT boleh dilayangkan kad atau diperintahkan keluar padang selepas jelas mengasari pemain TFC berdekatan pengadil.

Insiden pertama membabitkan tindakan tonggak pertahanan JDT, Shane Lowry yang mengasari Mintah yang ketika itu sudah pun terbaring dan menolak penjaga gol, Suhaimi Husin yang menariknya untuk meleraikan percakaran ketika pergelutan di dalam kotak penalti pada minit ke-70.

Kedua dan ketiga membabitkan Natxo Insa diberi layanan ‘istemewa’ walaupun jelas menyepak bola selepas pengadil meniupkan wisel bagi melambatkan permainan dan hadangan kerasnya terhadap pemain TFC pada penghujung perlawanan.

Namun pengadil bertugas, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah bagaikan tertinggal kad di bilik persalinan selepas tidak memberi sebarang amaran kepada pemain JDT itu sekali gus mengundang kemarahan 20,000 peminat setia yang hadir ke stadium dengan harapan melihat perlawanan menarik.

Pada 2015, juga di stadium sama, penyokong tuan rumah merusuh kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika pertemuan dengan wakil Singapura, Lions XII pada aksi separuh akhir Piala FA yang mengakibatkan sebuah ambulans dibakar dan 22 penyokong ditahan.

Oleh : Malik Muhamad | Sumber : Harian Metro

  • LikeUnlikeLike
https://drsamsuri.com/blog/ Load More
87
No More Posts To Show !!

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Tingkat 16, Wisma Darul Iman,
20503 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.

No Tel: 09-6276614
No Faks: 09-6233612
mb@terengganu.gov.my

Terkini

  • 3,110 Pelajar dapat manfaat Program Web Application ECERD
  • Hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir beroperasi Jun 2022
  • Pendapatan GLC Terengganu, TDM Meningkat Sembilan Peratus

Pengunjung

  • 2
  • 150
  • 60
  • 504,958
  • 264,798
Copyrights © 2018. Hak Cipta Terpelihara Dr Ahmad Samsuri Bin MokhtarEcono.