Ringkasan Ucapan Belanjawan 2022 (Muat turun di sini)
Slides Belanjawan 2022 Negeri Terengganu (Muat turun di sini)
Ucapan Belanjawan 2022 TDI(Muat turun di sini)
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Sehingga 35 peratus bajet kerajaan negeri terpaksa diguna bagi melangsaikan hutang pelbagai projek infrastruktur mega pentadbiran kerajaan terdahulu, menurut Menteri Besar Terengganu.
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil minyak petroleum yang menyumbang kepada 75 peratus daripada bajet negeri, namun konteks sebenar itu perlu difahami.
Kata beliau, pihaknya perlu mengambil kira perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi mengelakkan timbul masalah lain.
“Pertama, saya ucapkan terima kasih kerana telah menyediakan ruang bagi penyediaan program pembangunan infrastruktur, cuma apabila pelaksanaannya menggunakan pelbagai kaedah ia telah memberi tekanan kepada sumber kewangan kerajaan negeri.
“Banyak projek ini telah menggunakan kaedah pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual, maka sudah tentu ada faedah ‘interest’ dan sebagainya.
“Katakan satu projek bernilai RM1 bilion, oleh kerana pentadbiran negeri tidak biayai projek pada waktu permulaan tetapi menerusi kaedah tersebut, pembinaan berjalan dahulu dan tempoh pembayaran ditentukan dalam masa 5 hingga 10 tahun,” katanya.
Tambahnya, antara contoh diberikan seperti pada tahun 2021, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan hampir RM440 juta bagi pembayaran projek terdahulu.
“Bila sampai tahun ini, jumlah tersebut perlu dibayar sedangkan bajet negeri hanyalah sekitar RM1.42 bilion sahaja. Maknanya sehingga 34 peratus bajet telah digunakan bagi melangsaikan hutang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
“Bukan kita tidak boleh membuat program pembangunan infra menggunakan hasil minyak, tapi perlu diambil kira bahan api fosil tersebut akan habis, oleh itu perancangan kini berbentuk timbal balik,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang punca lain pengurangan hasil kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan, antaranya adalah penggunaan dana negeri bagi pembiayaan projek pembangunan yang sepatutnya diambil tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan.
“Contohnya seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2, yang menjadi tanggungjawab pusat tetapi Terengganu telah (dalam pentadbiran lalu) menggunakan dana kerajaan negeri hasil daripada petroleum sebanyak RM1.2 bilion untuk pembiayaan LPT2.
“Walaupun telah siap dibina, namun perundingan daripada awal peringkat sepatutnya diadakan bagi menuntut tanggungan kos yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan, tapi tiada perjanjian khusus diadakan maka tiada tarik tali.
“Hasilnya, apa yang kita laksanakan di Terengganu sehingga 2023 adalah mengurangkan projek pembangunan berskala mega kerana bagi memfokuskan kepada pemberdayaan rakyat sendiri,” jelas Ahmad Samsuri.
Menyentuh berkenaan perancangan pentadbirannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menceritakan, antara fokus ‘empowerment’ adalah seperti mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, suasana kepincangan ekonomi dan lain-lain lagi.
“Kita fokuskan kepada pendidikan dan memberi keupayaan dalam sektor tersebut, walaupun tiada hasil kewangan namun bagi jangka masa panjang bagi membantu keluarga dan masyarakat.
“Bukan sekadar beri bantuan kewangan secara terus, tetapi melalui inisiatif lebih produktif untuk mereka bertahan,” ulasnya.
Menjawab persoalan kesediaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau menyifatkan pihaknya melaksanakan amanah diberi daripada rakyat.
“Rakyat akan menilai, kita percaya pertimbangan adil harus diberikan oleh masyarakat, berdepan dengan suasana netizen yang memberi gambaran salah, perkara ini perlu ditangani dengan penerangan.
“Itu adalah tugas kita semua sebagai rakyat yang bertanggungjawab yang akan menjawab di hadapan Allah SWT,” jelasnya lagi.
Oleh : Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri | Sumber : TRDI
KUALA TERENGGANU: Meskipun Perikatan Nasional (PN) sudah mengesahkan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pas masih berharap semua parti-parti Melayu termasuk UMNO dapat bersatu.
Kerjasama itu sekali gus dapat mengelak pertembungan tiga penjuru yang hanya memberi kelebihan kepada pihak musuh.
Dalam status di laman Facobooknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan agar semua parti-parti Melayu Islam dapat bersatu.
Katanya, gerakan Islam mempunyai peranan yang besar dalam pentadbiran sesebuah negara.
“Peranannya yang paling utama adalah untuk memastikan ‘good governance’ memberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat secara adil dan saksama,” katanya.
Dalam hantaran itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar berkongsi gambar semasa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diziarahi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau mana-mana parti dalam PN pada PRN Melaka.
Sebagai tindak balas pendirian UMNO itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah mengenal pasti calon di kesemua 28 DUN Melaka termasuk calon Ketua Menteri.
Kesemua calon itu melibatkan wakil daripada Bersatu, Pas dan Gerakan.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berharap UMNO-Bersatu dapat berlapang dada dan melupakan segala perselisihan lampau demi matlamat yang lebih besar iaitu membentuk perpaduan sebelum memasuki gelanggang PRN Melaka.
Hashim dilaporkan berkata, bagi mencapai semangat perpaduan itu sememangnya memerlukan pengorbanan dan tidak mustahil dapat direalisasikan.
Kata Hashim, kerjasama ketiga-tiga parti dalam PRN Melaka bakal menguji sejauh mana kekuatan serta peluang mereka mencapai kemenangan lebih selesa sebelum PRU-15.
Oleh : Rosalinda Md Said | Sumber : Utusan
Kenyataan Media
Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Air Percuma 20 Meter Padu Diperluas Kepada Semua Rakyat Terengganu Sempena Aidilfitri
Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju untuk memperluaskan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama kepada semua pengguna kategori rumah tangga sempena bulan perayaan Aidilfitri.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penduduk PPRT.
Ia bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.
Pemberian air percuma ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat yang terdiri daripada isi rumah kategori rumah tangga.
Ianya akan melibatkan perbelanjaan yang berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bagi bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021.
Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
9 Mei 2021
Kuala Terengganu: Terengganu bakal melahirkan lebih ramai pemain berkualiti e-sukan selepas kerajaan negeri dalam proses penubuhan hub e-sukan bertaraf antarabangsa di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek bernilai RM5 juta itu diletakkan bawah peruntukan Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 sekali gus menambah nilai komersial e-sukan di Terengganu.
Katanya, penubuhan kompleks itu bakal meliputi pusat latihan, pejabat, arena pertandingan dan pusat komuniti belia.
“Kerajaan negeri berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dalam sukan ini bagi mewakili negeri terutama dalam Sukan Malaysia (Sukma) selain negara.
“Selain itu dengan adanya kompleks berkenaan yang serba lengkap, secara tidak langsung mampu melahirkan jaguh dunia selain kita dapat menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, kita harapkan impian itu tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Latihan e-Sukan Sukma Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mohd Izwandy Ismail dan Presiden e-Sukan Malaysia Terengganu, Shahrul Nizam Ab Ghani.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, pusat latihan sedia ada itu mempunyai 27 atlet e-sukan negeri sebagai persediaan menjelang temasya Sukma ke-20 pada 2022 di Johor.
“Kita menyasarkan pingat emas dalam sukan itu dengan tiga permainan utama di pertandingkan iaitu Dota, Mobile Legend dan Pro Evolution Soccer (PES),” katanya yang mengakui pemain kini giat menjalani latihan.
Pada temasya Sukma ke-19 di Perak 2018, kontinjen Terengganu berjaya muncul juara keseluruhan dengan mengutip 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.
Oleh : Malik Muhamad | Sumber : Harian Metro
KUALA TERENGGANU, 19 April – Ziarah Ramadan diatur bagi mendekati dan mendapatkan pandangan tuan-tuan guru pondok di Terengganu sebagai salah satu medium semak dan imbang kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri sangat menghargai dan mengalukan perbincangan bersama mereka demi manfaat rakyat.
“Kami atur program ziarah Ramadan ke rumah tuan-tuan guru pondok di Terengganu. Alhamdulillah, saya bersama YB (Yang Berhormat) Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) serta wakil-wakil jabatan berkesempatan berkunjung dan bertemu mesra dengan Tok Ayah.
“Tok Ayah atau dikenali dengan gelaran Ayah Ku ialah Tuan Guru Pondok Al Ansar Kenanga Wakaf Tapai yang juga salah seorang guru Ustaz Azhar Idrus (UAI).
“Kami sangat teruja mendengar penjelasan Tok Ayah tentang politik, fiqh, dakwah dan pendidikan Islam.
“Saya meneliti kesungguhan Tok Ayah dan keprihatinan tentang perkembangan semasa. Tok Ayah agak komited dengan penyatuan ummah.
“Jelas Tok Ayah, kita fokus untuk menyatukan ummah dan bertolak ansur dalam kepelbagaian pendapat dan jangan cepat menyalahkan orang lain,” katanya dalam satu status di Facebook rasmi beliau, semalam.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT).
Dalam perkembangan sama, Mohd Nor turut meminta komen Tok Ayah tentang Kerajaan Terengganu.
“Saya mohon Tok Ayah komen tentang kerajaan. Tok Ayah sebut teruskan kebaikan dan bersikap terbuka.
“Sesiapa sahaja boleh buat kesilapan tetapi yang penting kesepakatan,” ujarnya.
Oleh : Nur ‘Afini Yahaya | Sumber : TRDI
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM80,000 untuk bantuan tunai pemilik kereta sewa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman, terdapat 284 pemandu kereta sewa yang beroperasi di seluruh negeri.
Katanya, kerajaan mendapati pemandu kereta sewa juga layak untuk menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM300 seorang melalui program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu.
“Golongan itu juga turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan kerajaan, berikutan penularan pandemik COVID-19, sejak Mac tahun lalu.
“Walaupun kerajaan sudah membenarkan rentas daerah, tetapi pemandu kereta sewa masih berdepan masalah untuk mendapatkan penumpang berikutan persaingan daripada kereta sapu dan kenderaan e-hailing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, bantuan sekali bayaran kepada pemandu kereta sewa berjumlah RM300 seorang itu tambahan kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan susulan pandemik COVID-19.
Sebelum ini, katanya, kerajaan mengagihkan bantuan sekali bayaran berjumlah keseluruhan berjumlah RM119,100 untuk membantu meringankan bebanan kepada penggiat industri pelancongan yang pendapatan terjejas susulan PKP.
“Bantuan sekali bayaran itu diberikan kepada 43 orang pemandu teksi airport berjumlah RM300, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12,900.
“Bantuan itu termasuk kepada 22 pengayuh beca roda tiga berjumlah RM400 membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8,800, pemandu bot penambang seramai 17 orang sebanyak RM400 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6,800,” katanya.
Ariffin berkata, turut menerima bantuan berjumlah RM300 seorang adalah 167 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM50,100, malim gunung seramai 33 orang pula menerima RM300 membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM9,900 dan 102 pemandu pelancong yang menerima bantuan sebanyak RM300 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM30,600.
Oleh : Baharom Bakar | Sumber : Berita Harian
KUALA TERENGGANU: Pas tidak mengambil pusing dakwaan DAP kononnya parti itu paling berbahaya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terpulang kepada DAP untuk berkata apa sahaja.
“Terserah nak kata apa pun, kita tak control (kawal) dia (DAP),” katanya ringkas ketika menjawab soalan pemberita selepas merasmikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Terengganu Fasa 2 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya Pas paling berbahaya dalam kerajaan PN berikutan hasrat parti itu untuk melaksanakan persempadanan semula yang berpihak kepada orang Melayu sekiranya menang dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut Guan Eng, tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mengadakan persempadanan kawasan berdasarkan kaum dan agama.
Guan Eng yang ketika itu berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Melaka turut menyifatkan Pas kini hanya menindas rakyat bagi menutup kegagalan mereka sekali gus berbeza semasa dipimpin bekas Mursyidul Amnya, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. – UTUSAN ONLINE
MARANG – Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf jeti di Kampung Alur Pak Bang sebagai kemudahan kepada lebih 600 nelayan di sana.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas berkunjung ke lokasi pada Isnin.
Menurutnya, kerja menaiktaraf jeti sedia ada yang sudah uzur terletak berhampiran mini slipway itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan ia dijangka siap pada tahun depan.
“Jeti wajah baharu ini juga akan dilengkapi stor penyimpanan, surau dan kedai makan sebagai kemudahan kepada nelayan ketika melabuhkan bot di jeti atau menunggu bot diselenggara di slipway,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mini Slipway dan Bilik Sejuk yang disempurnakan Dr Ahmad Samsuri di hadapan kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada Isnin.
Mini slipway bernilai lebih RM500,000 di Kampung Alur Pak Bang dibina bagi memudahkan kerja menaikkan bot ke daratan bagi tujuan penyelenggaraan atau baik pulih kerosakan pada bot nelayan.
Tun Ahmad Faisal berkata, dengan adanya kemudahan itu nelayan sekitar Marang tidak lagi berdepan masalah lokasi pembaikian bot yang jauh dari kawasan pengeluaran hasil setempat sekali gus dapat mengurangkan kos.
“Mini slipway ini mampu menahan beban bagi bot nelayan zon A dan B yang bermuatan kurang 30GRT,” katanya.
Bagi bilik sejuk yang terletak di depan kompleks LKIM Marang pula kata Tun Ahmad Faisal, kemudahan pertama bagi komuniti nelayan di Marang itu mampu menampung kapasiti sehingga 10 metrik tan hasil laut dalam satu masa.
“Mini slipway dan bilik sejuk ini dapat memberi manfaat kepada 42 bot Zon A dan 11 bot Zon B serta hampir 600 nelayan di kawasan Marang,” katanya.
Oleh : Rahayu Mustafa | Sumber : Sinar Harian
MARANG, 5 April – Pembinaan ‘mini slipway’ atau tempat pembaikian bot dan bilik sejuk yang membabitkan peruntukan lebih RM700,000 nyata melegakan hampir 600 nelayan di daerah ini.
‘Mini slipway’ yang ditempatkan di Kampung Alur Pak Bang dan bilik sejuk di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu itu mula dibina pada akhir 2019 dan kini dapat digunakan sepenuhnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini golongan nelayan terpaksa membaiki bot di ‘slipway’ swasta dan ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.
Katanya, kemudahan itu sudah diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Marang dan beliau pasti ia dapat mengurangkan kos-kos berkaitan.
“Manakala kewujudan bilik sejuk pula mampu meringankan kudrat nelayan yang sebelum ini terpaksa menyediakan puluhan tong berisi ais untuk menyimpan hasil laut.
“Bilik sejuk mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10 metrik tan ikan pada satu-satu masa, selain mampu mengekalkan daya tahan hasil laut dalam tempoh sebulan dengan penetapan suhu 0 hingga -25°C,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Mini Slipway dan Cold Room di hadapan LKIM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah LKIM, Mastam Nodo.
Pada majlis yang sama, Ahmad Samsuri turut menyatakan persetujuan untuk membaik pulih Jeti Marang dan meluluskan peruntukan RM500,000.
Katanya, melalui peruntukan sama, turut akan dibina kedai makan, surau dan tandas.
“Kerajaan faham dengan keperluan nelayan di kawasan ini yang mahukan jeti yang lebih selesa untuk mendaratkan hasil laut.
“Oleh itu, dia berharap pihak berkaitan menyegerakan pembinaan kemudahan itu dan berharap dapat dimanfaatkan awal tahun depan,” katanya.
Oleh : Suriati Ali | Sumber : TRDI