KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan Terengganu menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat salah mengenai isu tapak peniaga bazar Ramadhan di sekitar Kuala Terengganu dan Stesen Teksi Tanjung (Chow Kit Tanjung) khususnya, yang dikatakan dikenakan kadar sewaan yang tinggi dan diberi kepada orang luar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, dakwaan kadar sewa yang tinggi adalah tidak benar sama sekali kerana perkara itu berkait rapat dengan tempoh masa sewaan yang dipanjangkan dari 15 hari kepada 29 hari.

“Kerajaan negeri prihatin dan menggalakkan rakyat Terengganu berniaga, justeru pada tahun ini kita buka peluang kepada mereka untuk menyewa dalam tempoh masa yang lebih lama di bulan Ramadhan.

“Daripada caj RM1,400 pada tahun sebelumnya untuk satu kanopi (enam lot) dalam tempoh 15 hari (RM233 satu lot), pihak pengusaha tapak di stesen teksi telah bersetuju menetapkan harga RM2,000 satu kanopi di kawasan ini, tetapi dalam tempoh 29 hari pada tahun ini.

“Jadi dakwaan caj RM4,000 tidak benar sama sekali. Harga ini jauh lebih murah daripada tahun sebelumnya dengan kerajaan negeri mengambil kira kebajikan peniaga-peniaga. Peniaga-peniaga diharap bersabar sebelum mendapatkan maklumat yang sahih,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini, bagi mengulas isu tersebut.

Turut hadir dalam temu ramah tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Kesihatan Persekitaran Negeri, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Mengulas lanjut, Alias berkata, isu tapak bazar Ramadhan diberikan kepada orang luar juga tidak berbangkit. Menurutnya, di Kuala Terengganu sahaja, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menerima lebih 30 permohonan daripada pengusaha kanopi walhal tempat yang ada hanya terhad kepada empat kawasan.

“Kita terima lebih 30 permohonan dengan tempat yang ada hanya empat. Ini termasuk di Dataran Shahbandar, Teksi Tanjung, parking skrin besar dan parking perahu.

“Justeru cara yang kita pilih adalah telus dengan pengusaha diminta mengemukakan sebut harga yang tidak membebankan peniaga dan relevan (mendatangkan keuntungan). Ini sekali gus menggalakkan pengusaha lebih ‘competitive’ dalam perniagaan.

“Pihak MBKT mengambil kira kos pengusaha melibatkan kos ‘marquee tent’, bekalan air, bekalan elektrik, kos kebersihan dan sebagainya. Kita juga meletakkan harga siling bagi pengusaha-pengusaha ini tidak kira pengusaha tempatan atau luar Kuala Terengganu, tetapi masih lagi pengusaha dalam negeri Terengganu. Yang penting adalah mereka menjaga kebajikan peniaga-peniaga.

“Jadi dakwaan tapak bazar diberi kepada orang luar juga adalah tidak benar. Di pihak kerajaan negeri, kita bukan sahaja menggalakkan rakyat Terengganu berniaga malah mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik oleh pengusaha tapak Ramadhan.

“Tapak akan ditawarkan kepada peniaga yang sama. Persatuan-persatuan tidak akan diketepikan. Bahkan, MBKT tidak mengambil keuntungan dan kita ingin mempertahankan penarafan yang diberikan kepada kawasan Kuala Terengganu sebelum ini dan menjadikan Terengganu umumnya sebagai negeri yang bersih dan ceria,” ujarnya.

Oleh : Afini Yahya | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: