KERAJAAN Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil langkah perlu termasuk memantau tahap kesihatan komuniti warga China di beberapa lokasi, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ini termasuk melakukan pemeriksaan dalam kalangan pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan China Communications Construction (CCC).

“Namun, tiada pekerja disyaki mempunyai simptom koronavirus baharu atau 2019-nCoV setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Kuala Terengganu, hari ini.

Selain itu, katanya, pemeriksaan kesihatan juga sudah dijalankan terhadap 1,400 pekerja dari luar negara yang menaiki kapal di Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kerteh.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menasihatkan rakyat supaya mendapatkan berita daripada sumber rasmi seperti Kementerian Kesihatan berkaitan jangkitan koronavirus itu.

“Penting juga bagi masyarakat di luar untuk mendengar maklumat yang sahih daripada mereka yang pakar bukannya percaya kepada sesiapa tanpa kepakaran dan pengetahuan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Jom kongsikan: