KUALA TERENGGANU, 23 Oktober –  Dasar Perumahan Negeri yang mengutamakan pembinaan rumah patuh syariah mendapat sokongan menggalakkan daripada pihak swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ramai pihak pemaju yang tampil untuk sama-sama membantu memperbanyakkan rumah rakyat di negeri ini.

“Setakat ini dengan dasar  yang kita bentang dah ramai  pemaju yang datang  dalam bulan lepas dan bulan ini yang menawarkan (dan) bersedia menyatakan niat untuk  sama-sama membantu.

“Alhamdulillah  saya ucap  terima kasih kepada pemaju termasuk syarikat Wanland Metro Sdn Bhd pun ada cadangan  bina rumah di Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dua tapak perumahan di Bukit Cina dan Durian Telor, Hulu Besut, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah dan Penyelaras DUN Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad.

Menurutnya, ia merupakan satu perkembangan positif kepada kerajaan negeri bagi mencapai hasrat untuk membina rumah bercirikan ‘Syariah Islamiah’.

 “Reka bentuk  dan susun atur rumah  itu mestilah mematuhi syarat yang dikehendaki lebih mesra kepada (kehendak) Islam.

“Jadi ini antara yang penting, kerajaan nak tekankan (agar) rumah-rumah mampu milik negeri Terengganu dan juga rumah mampu milik bandar lestari (dibangunkan menurut kesesuaian),” tegas beliau.

Justeru itu, kata beliau, rakyat akan mendapat manfaat daripada Dasar Perumahan Negeri  yang telah dilancarkan pada bulan September lalu.

“Dengan Kita beri harga tanah nominal dan untuk buat (unit rumah) jenis A. Tidak ada apa-apa sumbangan  yang kita minta untuk beri kepada kerajaan semata-mata (tetapi) mereka dapat buat rumah untuk rakyat,” tambah beliau.

Oleh : Rohayati Ripin | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: