Category :

LONDON, 7 November – Ikon Pelancongan Terengganu, jambatan angkat ‘drawbridge’ diperkenalkan di forum pelancongan terbesar dunia, World Trade Market (WTM) 2019 di ExCel London, mulai 4 November lalu hingga semalam.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika ditemui selepas majlis perasmian pavilion Tourism Malaysia kelmarin berkata, WTM adalah merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan Terengganu kepada agensi pelancongan dan media seluruh dunia.

Katanya, penyertaan negeri Terengganu adalah merupakan satu lonjakan yang hebat kepada sektor pelancongan negeri yang terkenal dengan keindahannya yang tersendiri terutamanya keunikan seni budaya, keindahan alam semulajadi dan eko pelancongannya seperti pulau dan pantai yang cantik dan bersih serta ikon terbaru negeri iaitu ‘Drawbridge’. 

“Rakyat Terengganu sangat teruja untuk menerima kehadiran pelancong ke negeri ini di mana mereka sendiri terlibat di dalam aktiviti pelancongan sama ada mereka di luar bandar mau pun di dalam bandar,’’ jelasnya.

Menurut beliau, WTM 2019 merupakan forum pelancongan terbesar di dunia, disertai oleh lebih 5,000 penyertaan dari 200 negara di seluruh dunia bagi mempromosikan keunikan dan tarikan pelancongan negara masing-masing.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dengan delegasi Tourism Malaysia bersama 50 peserta pula membawa sinergi misi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) sempena penyertaan negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu ke WTM 2019 itu.

“Mat Dan yang merupakan duta pelancongan negeri Terengganu telah diberi ruang khas untuk menceritakan rentetan pengalaman beliau di negeri Terengganu dan seterusnya mempromosikan produk-produk pelancongan negeri Terengganu dan juga ikon pelancongan negeri yang baharu, Terengganu Drawbridge, yang telah memenangi anugerah Ikon Pelancongan Baru Terbaik di Malaysia Tourism Council Gold Awards 2019, kepada media luar negara baru-baru ini,” jelas beliau.

Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: