KUALA LUMPUR, 18 Februari – Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi ‘game changer’ atau pembawa perubahan kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM44 bilion itu dijangka membuka lebih 20,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat di negeri itu.
“Ini secara tidak langsung berupaya memangkin taraf ekonomi rakyat, perkembangan industri dan teknologi ke tahap yang lebih baik di masa hadapan serta menyemarakkan sektor pelancongan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pembangunan di kawasan ECRL tidak hanya tertumpu semasa tempoh pembinaan projek sahaja.
“Tetapi ia akan terus ditambah baik melalui peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam merangkumi aspek-aspek pembangunan pusat industri dan logistik,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak yang hadir sama berkata, kolaborasi strategik itu sudah berada pada momentum terbaik.
“Ia dijangka akan terus memacu pembangunan infrastruktur dan pengangkutan di negeri-negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu.

“Kerjasama ini memberikan pendekatan holistik kepada projek ECRL kerana tidak terhad kepada fasa pembinaan sahaja tetapi juga meneroka dan mengenal pasti pembangunan ekonomi lain di Terengganu,” tambah beliau.
Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita
Jom kongsikan: