KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Free Malaysia Today hari ini.

Ianya merujuk kepada hantaran yang menyatakan, “Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti Islam itu dan Umno tidak mengiktiraf kewujudan rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia.”

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Adram Musa menggesa portal berita tersebut menarik balik hantaran di facebook berkenaan dengan segera dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri, PAS dan juga UMNO.

“Kapsyen yang digunakan oleh Free Malaysia Today ini ternyata merupakan satu fitnah yang jahat kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri, PAS dan UMNO. Bahkan fitnah sebegini boleh menyemarakkan lagi perpecahan kaum di Malaysia.

“Tindakan yang tidak beretika daripada portal berita seperti Free Malaysia Today akan menyebabkan keharmonian kaum di Malaysia berada dalam keadaan terancam,” jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Menurutnya, melalui sidang media semalam, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyatakan secara jelas bahawa PAS ataupun UMNO khususnya memahami dan mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan agama di negara sejak dari awal lagi.

“Semuanya ada peranan dan hak masing-masing dalam negara,” tegasnya.

Justeru, beliau turut menasihatkan para wartawan dan portal berita untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh beretika agar dihormati masyarakat.

Oleh :’Afini Yahya | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: