KUALA TERENGGANU, September 11 – Anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad (GPB) merekodkan prestasi positif dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2019 dengan mengumumkan pendapatan syarikat suku kedua berakhir Jun 2019 berjumlah RM15.40 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, keputusan kewangan syarikat mencatatkan momentum keuntungan yang memberangsangkan apabila keuntungan tersebut adalah keuntungan lapan suku berturut-turut sejak suku ketiga pada tahun 2017.

Syarikat pembalakan itu turut memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM260,000.

Katanya, kewangan GPB meningkat kepada RM260,000 berbanding RM130,000 pada suku yang sama tahun lalu.

“Mengenai prospek di masa hadapan, kumpulan GPB menyasarkan keputusan kewangan yang lebih baik di suku hadapan tahun ini walaupun ada peningkatan kos operasi dan peraturan baharu yang ketat oleh Jabatan Perhutanan.

“Sementara itu, segmen kaca masih lagi perlahan berikutan penurunan permintaan dalam sektor pembinaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Nadza berkata, kumpulan itu menjangkakan operasi venir akan mula menjana keuntungan kepada pendapatan syarikat apabila anak syarikatnya telah memasuki Perjanjian Tahap Perkhidmatan dengan pihak luar bagi meningkatkan kapasiti penghasilan venir kering.

Oleh : Noraini Jusoh | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: