Sangat kagum dengan usaha dan pendekatan diambil kerajaan Terengganu yang menggubal Dasar Perumahan Terengganu yang inti kandungannya memberi penekanan kepada kediaman patuh syariat.

Dasar itu berkuat kuasa pada 1 September lalu dilihat sebagai antara usaha proaktif dan dijangka bakal mencetus fenomena baru perumahan untuk rakyat.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dasar baharu itu lebih mesra pelabur dan pembeli dan menyasarkan membina 20,000 rumah mampu milik di seluruh negeri berkenaan dalam tempoh empat tahun.

Beliau menyatakan rumah patuh syariah dan bercirikan Islamik itu memiliki tiga bilik tidur, ruang tamu dan ruang makan yang diasingkan untuk privasi keluarga, pengasingan bilik mandi dan tandas, selain penambahbaikan beberapa ciri lain.

Nilai Islamik yang cuba ditonjolkan sebenarnya ke arah memastikan penjagaan aurat terpelihara seterusnya menjurus kepada bentuk rumah yang diredai Allah.

Mungkin buat masa ini, kita masih kabur bagaimana rupa bentuk rumah patuh syariat yang cuba dirintis kerajaan Terengganu itu memandang selama ini kita jarang memperkatakan hal berkenaan.

Dengan wujudkan reka bentuk perumahan rakyat mampu milik bercirikan Islam dan menepati asas pematuhan syariat itu, kehidupan kita akan lebih tenteram dan lebih penting soal penjagaan aurat dalam kalangan ahli keluarga dapat dipelihara.

Begitu juga sekiranya tetamu datang berziarah, tatacara privasi kehidupan keluarga tidak terganggu.

Rumah tangga yang bernaung dalam situasi patuh syariat memberikan satu impak besar ke atas perkembangan rohani anggota keluarga khususnya dalam kalangan anak-anak.

Percayalah, sekiranya anak-anak dibesarkan dalam situasi sentiasa patuh syariat dengan penekanan kepada penjagaan aurat di samping tidak mengabaikan perintah Allah seperti pelaksanaan solat, bakal membina kerukunan rumah tangga yang diberkati Allah.

Faktor persekitaran rumah tangga juga amat mempengaruhi perkembangan fizikal, mental dan rohani anak-anak.

Anak-anak yang dibesarkan dan dipelihara dengan menjaga aurat serta mengambil berat soal amal ibadat akan menimbulkan kesan positif dalam pembinaan sahsiah diri dan moral.

Mutakhir ini, remaja banyak terpengaruh dengan anasir asing yang menjerumus diri mereka dalam kancah bertentangan adat normal masyarakat dan agama.

Antara faktor yang dikenal pasti membawa tercetusnya fenomena negatif itu ialah keadaan dalam rumah tangga yang kurang menitikberatkan
soal agama.

Ibu bapa seharusnya peka dengan keadaan demikian dan berusaha memberikan curahan ilmu pengetahuan agama yang mencukupi.

Tambah menggembirakan apabila kita diperkenalkan dengan rupa bentuk kediaman yang menepati kehendak agama dan hal itu pastinya memudahkan tanggungjawab dalam menjadikan rumah sebagai platform membina zuriat yang sentiasa menjunjung tinggi ajaran agama.

Apa yang diperkenalkan kerajaan Terengganu menerusi Dasar Perumahan Baharu Mampu Milik yang bercirikan Islamik itu wajar dicontohi negeri lain
di seluruh negara supaya ramai memperoleh nikmatnya.

Oleh : Mohd Rizal Azman Rifin | Sumber : Harian Metro

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Jom kongsikan: