KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Hotel patuh syariah, Hotel Paya Bunga (PB) Terengganu terus mencatatkan keuntungan setiap bulan dalam tempoh enam bulan terakhir 2019 meskipun baru satu tahun beroperasi.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pada enam bulan tahun lalu, Hotel PB merekodkan pendapatan sebanyak RM6.4 juta dan mempunyai baki tunai melebihi RM800 ribu.

Katanya, perkara itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi pihaknya kerana secara tidak langsung berjaya mengurangkan kerugian terkumpul RM1.8 juta setakat tahun 2018.

“Hasil usaha gigih semua yang terlibat kita juga telah berjaya kurangkan kerugian yang dialami sejak 2015 yang sekarang hanya tinggal RM400 ribu.

“Kita telah berjaya untung RM1.4 juta bagi membuang beban yang kita tanggung sejak awal hotel dibuka, alhamdulillah kita semua berjaya buat walaupun baru bermula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Jalinan Kasih Kali Pertama di Paya Bunga Hotel di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang juga Ahli Lembaga Pengarah Hotel PB.

Mengulas lanjut, Khairuddin menegaskan, beliau yakin dengan kerjasama dan usaha berterusan daripada pihak terlibat, Hotel PB pastinya mampu mencatat keuntungan lebih besar pada tahun ini.

“Insya-Allah kita boleh lakukan bersama, sebagai menghargai jasa dan memberi semangat kepada semua, pihak hotel telah memberikan bonus satu bulan gaji.

“Semua ini akan berterusan apabila niat kita betul iaitu untuk membangunkan hotel dengan konsep patuh syariah dan sistem gerak kerja secara berkeluarga,” tambah beliau di hadapan 110 kakitangan.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: