
MARANG 27 April – Kerajaan negeri bersetuju meneruskan pembinaan sebuah jambatan baharu menghubungkan Kampung Paya Batu Merah ke Taman Rekreasi Keluarga di Pulau Kekabu di sini melibatkan peruntukan kira-kira RM1 juta.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat memandangkan jambatan sedia ada terlalu sempit dan hanya selorong sedangkan jumlah pengunjung ke kawasan rekreasi berkenaan semakin bertambah terutama pada cuti umum dan cuti hujung minggu.
Katanya, memandangkan kawasan itu semakin menjadi tumpuan ramai dengan aliran kenderaan kian bertambah, menjadikan Pulau Kekabu khususnya jambatan lama itu semakin sesak dan tidak lagi praktikal.
“Saya pernah beberapa kali ke Pulau Kekabu dan mendapati laluan yang ada untuk ke pulau itu memang terlalu sempit kerana ia selorong dan hanya boleh dilalui sebuah kenderaan dalam satu satu masa.
“Berikutan itu kerajaan negeri memutuskan untuk membina sebuah jambatan baharu di pulau ini bagi membolehkan orang ramai mengunjungi taman rekreasi keluarga di pulau tersebut yang memiliki panorama menarik,” katanya di sini malam kelmarin.
Yang turut hadir ialah isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Yang Dipertua (Majlis Daerah Marang (MDM), Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim.
Ahmad Samsuri memberitahu, projek pembinaan jambatan itu dijangka bermula dalam waktu terdekat dengan pihak (MDM) sedang dalam proses menyiapkan reka bentuk.
“Selain menyelesaikan masalah orang ramai, kita yakin pembinaan jambatan baharu ini turut membantu menyumbang kepada ekonomi dan penduduk setempat selain dapat menarik lebih ramai pelancong ke situ.
“Pada masa sama kita juga akan membaiki dan menambah baik surau sedia ada di taman rekreasi keluarga di pulau itu sebagai kemudahan untuk orang ramai menunaikan solat selain beberapa kemudahan lain,” ujarnya.
Sebelum ini Pulau Kekabu yang terletak berhampiran muara sungai Marang kini bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk berehat bersama keluarga, tetapi juga sebagai kawasan untuk berjogging, memancing dan pusat aktiviti sukan air seperti kenu.
Antatra kemudahan yang telah disediakan pihak MDM di taman rekreasi berkenaan setakat ini termasuklah taman permainan kanak-kanak, tandas awam dan beberapa lot perniagaan.
Oleh : Mohd Lazim Endut | Sumber : Utusan Online