KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Pelantikan beberapa individu ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri adalah untuk menyelesaikan kepincangan, termasuk pengurusan dan tatacara kewangan syarikat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu dibuat secara kontrak berdasarkan pengalaman dan kelayakan individu berkenaan.

“Individu berkenaan dilantik secara kontrak antara dua dan tiga tahun untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi GLC.

“Mereka mempunyai keluarga dan menetap di negeri ini dan pernah memegang jawatan beberapa GLC sebelum ini.

“Individu berkenaan juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi GLC dalam tempoh yang singkat.,” katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman semalam.

Mengulas lanjut dakwaan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu, beliau menegaskan selepas segala permasalahan itu yang dihadapi berjaya diselesaikan kerajaan negeri akan menyusun semula GLC dengan melibatkan anak tempatan.

“Apabila syarikat milik kerajaan itu kembali pulih, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menerajuinya,” katanya.

Untuk rekod, antara pelantikan jawatan GLC yang dipersoalkan Ahmad Said, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019.

TDM juga memaklumkan akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung.

“Selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar,” tambah Raja Dato’ Idris baru-baru ini.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: