Category :

KUALA TERENGGANU 10 Sept. – Acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri, Karnival Pantai Terengganu 2019 dijangka menerima kehadiran sehingga 100,000 pengunjung dalam program kemuncaknya selama lima hari mulai Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pelbagai pengisian kegiatan diatur di Pantai Batu Buruk di sini antaranya bangsal-bangsal tradisi, Malam Kesenian Islam, pertandingan keris dan senjata lama, bicara santai artis hijrah, demonstrasi makanan tradisional daerah, sukaneka rakyat, Himpunan Terengganu Bertanjak di samping pameran jabatan dan agensi kerajaan serta jualan usahawan tempatan.

Katanya, program yang bertemakan ‘Tradisi Diwarisi’ itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada pukul 5 petang, Jumaat ini.

“Dalam program tahun lalu kita menyasarkan seramai 20,000 pengunjung dan kali ini, dengan tempoh yang lebih panjang dan acara yang bertambah, kita menjangkakan kehadiran mencecah sehingga 100,000 orang.

“Orang ramai berpeluang melihat keunikan setiap daerah di Terengganu menerusi bangsal-bangsal yang disediakan misalnya bagi Kemaman terdapat demonstrasi ayam bawah perkop dan tarian sewang semoq beri manakala untuk Besut (kuih tonyoh), Hulu Terengganu (silat kura-kura), Setiu (anyaman kercut dan lekar), Kuala Nerus (permainan tradisional ting ting bulu ayam), Marang (jahit pukat), Dungun (pembuatan keris) dan Kuala Terengganu (kuih lok lit),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar karnival itu di Duyung Marina & Resort di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Pelancongan Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Karnival Pantai Terengganu yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Pantai, dijenamakan semula bermula tahun lalu dengan masih mengekalkan sebahagian besar pengisian acara yang pernah diadakan sebelum ini, namun ditambah baik dengan elemen patuh syariah.

Ariffin berkata, penganjuran karnival itu secara tidak langsung dapat memperkenal dan melestarikan seni, budaya dan warisan negeri yang menjadi identiti rakyat Terengganu kepada masyarakat luar.

Selain itu, katanya, orang ramai turut berpeluang menyertai pertandingan Wefie De’ Pantai yang diadakan setiap hari dengan ganjaran hadiah bernilai RM100 untuk dua pemenang harian manakala bagi hadiah utama sebanyak RM350 untuk johan, tempat kedua (RM250) dan ketiga (RM150).

“Peserta diwajibkan mengambil gambar secara wefie di tapak karnival dan untuk penyertaan utama mereka perlu bergambar dengan plat ‘Beautiful Terengganu Malaysia’ dan ‘Terengganuku Comey’ yang boleh didapati di bangsal Tourism Terengganu,” katanya.

Oleh : Rosalinda Md. Said | Sumber : Utusan Online

Jom kongsikan: