Category :

KUALA TERENGGANU: Pihak yang mendakwa amalan solat dua imam masih berlaku di negeri ini diminta segera mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata mereka perlu membuat laporan dan tidak hanya bercakap kosong.

Katanya, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan masih wujud amalan solat dua imam di surau dan masjid di negeri ini yang berlaku akibat perbezaan fahaman politik.

“Mana-mana pihak yang buat dakwaan, sila nyatakan di mana ia berlaku dan bila, supaya kita dapat ambil langkah sepatutnya. Kalau setakat dakwaan semata-mata susahlah.

“Jadi, kita minta mereka berikan bukti sewajarnya, sertakan gambar atau video kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah pertandingan Foto & Video ‘Terengganu Iconic Drawbridge 2019’ dan sambutan ambang merdeka di Dataran Shahbandar di sini, malam tadi.

Beliau mengulas laporan memetik Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kuala Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Zulkifli Mohamad mendakwa ‘Amanat Haji Hadi’ yang kontroversi pada 1980-an masih berlaku di negeri ini.

Tanpa berkongsi butiran lokasi, Zulkifli mendakwa amalan itu yang sebelum ini sudah tidak lagi kedengaran wujud semula selepas PAS kembali memerintah kerajaan Terengganu.

Amalan solat dua imam yang pernah berlaku di negeri ini menyebabkan umat Islam mendirikan solat secara berjemaah di surau atau masjid sama, tetapi mengikut dua imam yang berbeza fahaman politik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa agama negeri mengenakan tindakan tegas termasuk membawa pesalah lelaki yang ditangkap tidak menunaikan solat Jumaat ke mahkamah, Ahmad Samsuri berkata, ia tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencegah perbuatan mungkar.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menggunakan pelbagai cara bagi memastikan warga negeri ini yang hampir 97 peratus adalah Melayu Islam, terhindar daripada perbuatan yang menyalahi tuntutan agama.

Katanya, tindakan yang diambil adalah bersesuaian mengikut kes dan pihak berkuasa agama negeri akan terus melakukan operasi dengan pelbagai pendekatan termasuk mendidik pesalah, sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memastikan pematuhan berlaku dan mengambil langkah yang sesuai berdasarkan enakmen yang ada. Kerajaan tidak akan membiarkan perkara tidak menyenangkan berlaku di Terengganu.

“Apapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus mengadakan operasi, namun tidak semestinya pesalah akan terus dikenakan hukuman.

“Ada kala kita akan berlembut, ada kala kita kenakan rotan. Sama macam masalah sampah juga. Kalau kita nasihat, kempen, ada kalanya kita akan kenakan denda yang berat sebagai iktibar kepada yang lain. Cara ini mengikut kesesuaian suasana dan keadaan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang juruandam atau ‘pondan’ dikenakan denda RM2,600 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kerana ditangkap tidak menunaikan solat Jumaat, manakala empat lagi mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Sejak melaksanakan Operasi Ponteng Solat Jumaat, Julai lalu, JHEAT menahan 29 lelaki dan pelaksanaan operasi itu mengundang pelbagai reaksi dengan ada antara masyarakat memuji langkah diambil JHEAT, selain ada yang mengkritik.

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin | Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: