Kenyataan Media

Menteri Besar Terengganu Darul Iman

Kerajaan Negeri Lancar Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu, Potong 50% Gaji Exco Dua Bulan

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi membuka peluang kepada semua rakyat yang prihatin, penderma korporat dan syarikat swasta untuk membantu golongan yang terjejas akibat wabak pandemik ini di negeri Terengganu.

Inisiatif ini diambil dengan menyedari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan memberikan impak yang lebih besar kepada sosio-ekonomi rakyat negeri ini.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 13017010034566 atas nama Tetuan Akauntan Negeri Terengganu. Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai mengikut tatacata garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebagai sumbangan permulaan, saya bersama dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu akan membuat pemotongan 50% daripada dua bulan gaji untuk dimasukkan dalam tabung berkenaan.

Saya merayu dan berbesar hati supaya semua pihak dapat memberikan sumbangan bagi menunjukkan semangat kesatuan dan kecaknaan kita bersama.

Sebarang persoalan boleh hubungi Sekretariat Tabung Darul Iman di talian 09-6233535 atau layari http://stdi.terengganu.gov.my/

Semoga dengan sedekah dan sumbangan daripada penderma yang ikhlas akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
28 Mac 2020

Jom kongsikan: