Kenyataan Media
Menteri Besar Terengganu Darul Iman

Terengganu Rakam Tahniah Kabinet Berwibawa dan Berintegriti

Kerajaan Negeri Terengganu ingin merakamkan jutaan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin atas pengumuman Jemaah Menteri Kabinet hari ini.

Pengumuman ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menyaksikan kemelut politik yang begitu meresahkan kita semua.

Sudah tentu rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dengan pelantikan Menteri Kabinet yang bukan sahaja terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, tetapi tidak mengabaikan golongan teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Pelantikan ini juga mengambil kira masyarakat majmuk Bumiputera dan Bukan Bumiputera termasuk wakil Sabah dan Sarawak turut terpilih.

Saya percaya kesefahaman antara parti-parti dalam Perikatan Nasional mampu membawa Malaysia lebih berdaya saing mendepani cabaran ekonomi global terutama dunia kini berhadapan dengan wabak Covid-19 yang kian meruncing.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turut melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari negeri Terengganu sekali gus dapat memantapkan hubungan federalisme antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Doa kami mengiringi saf kepimpinan Jemaah Menteri yang dilantik untuk memberikan perkhidmatan yang berwibawa, berintegriti dan peduli rakyat.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
9 Mac 2020

Jom kongsikan: