KUALA TERENGGANU, 2 April – Kerajaan negeri  masih lagi membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk memberikan sumbangan mereka untuk Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau berharap ada sumbangan daripada semua pihak sama ada pihak individu ataupun syarikat-syarikat dan penderma-penderma lain untuk menyumbang dan akan digunakan untuk COVID-19.

“Sumbangan ini akan digunakan sama ada untuk kelengkapan,  kegunaan para frontliner (barisan hadapan) ataupun kepada mereka yang memerlukan termasuklah masyarakat yang terkesan dengan virus ini.

“Jadi , buat masa ini kita masih mengumpulkan dana dahulu dan kita akan tengoklah nanti bagaimana cara penggunaan. Tapi mana yang berkait dengan penggunaan peralatan kesihatan yang diperlukan oleh frontliner itu, kita akan terus gunakan untuk perkara sedemikian,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas penyampaian cek oleh oleh Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak,  dalam satu majlis ringkas di Kediaman Seri Iman.

Terdahulu, Terengganu Incorporated salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri menyumbang RM1 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu.

Dalam pada masa yang sama, Tenaga Nasional turut menyumbang RM1juta termasuk syarikat yang menjalankan pembinaan loji air di negeri , Konsortium KAJV Sdn Bhd yang memberi sumbangan sebanyak RM500 ribu untuk Tabung COVID-19.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, menyokong inisiatif kerajaan negeri mewujudkan Tabung Bantuan COVID-19 dan berharap sumbangan itu akan dapat membantu golongan yang memerlukan dalam tempoh yang mencabar ini.

“Sumbangan sangat bermakana terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac telah dilanjutkan kepada 14 April 2020 dalam usaha membendung virus pandemik itu,”ujar beliau.

Oleh : Mastura Jamal Din | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: