KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersetuju melonggarkan tempoh bayaran premium harga tanah secara ansuran sehingga tiga tahun, terutamanya membabitkan rakyat berpendapatan rendah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kelonggaran itu diberikan berdasarkan kadar maksimum pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR).

Katanya, rakyat berpendapatan rendah, terutamanya B40 dan memperolehi tanah kerajaan dibolehkan membuat bayaran premium tanah secara ansuran, tetapi perlu menjelaskan bayaran dalam tempoh tiga tahun.

“Selepas selesai membuat pembayaran premium harga tanah, barulah kerajaan akan menyerahkan surat hak milik tanah.

“Premium tanah akan dikira berdasarkan 10 peratus daripada harga nilaian sebenar tanah yang dipohon dan diluluskan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Baroh Tok Jiring, di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan dokumen itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang turut hadir, adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah.

Pada majlis itu, seramai 69 peserta termasuk 56 orang menerima dokumen hakmilik manakala 13 lagi menerima borang 5A.

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tepoh, berkata kelonggaran bayaran ansuran premium tanah itu diselaraskan kerajaan serta digunapakai semua pejabat tanah dan daerah di seluruh negeri.

Oleh : Baharom Bakar | Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: