KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Berdasarkan komitmen pemaju, projek perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Redang akhirnya dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini setelah tergendala hampir lapan tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri optimis isu terbabit akan berakhir secepat mungkin dengan tindak balas yang dilakukan pemaju.

Sehingga kini melalui tinjauan yang dilakukan pihaknya, sebanyak 160 unit RMM Pulau Redang sedang dalam pembinaan dengan sebanyak 88.7 peratus rumah sudah siap dibina.

“Ini adalah projek ‘sakit’ yang telah lama bermula sejak tahun 2012 sewaktu pemerintahan kerajaan sebelum ini. Pada ketika itu, pemaju memberi komitmen untuk menyiapkan projek dalam jangka masa setahun setengah dan dijangka siap pada 22 Julai 2013.

“Bagaimanapun setelah tiga kali Lanjutan Masa (EOT) diberikan, pemaju masih gagal menyiapkan projek tersebut. Akhirnya kerajaan negeri pada waktu itu membuat keputusan untuk ‘terminate’ dan bawa ke mahkamah.

“Setelah melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan, keputusan mahkamah bertindak mengekalkan pemaju yang sama dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu ini di luar mahkamah dengan perjanjian baharu dipersetujui.

“Kita telah menyambung dan memberikan EOT sehingga 1 Mac 2021 kepada pemaju dan kita optimis isu ini akan berakhir secepat mungkin insya-Allah,” jelasnya dalam satu kenyataan, menjawab soalan tambahan wakil Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Untuk rekod, hanya tinggal satu blok rumah RMM Pulau Redang sedang dalam pembinaan dengan tiga blok rumah sudah siap dibina.

Oleh : Nur ‘Afini Yahya | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: