MARANG, 8 Februari – Kerajaan negeri merancang mengadakan pakej pelancongan khusus mengenai daerah Marang termasuk Dataran Batu Putih.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, beliau agak teruja dengan Dataran Batu Putih kerana yang menghidupkannya adalah masyarakat kampung dibantu oleh Pejabat Daerah Marang di bawah kendalian pegawainya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Katanya, Jabatan Pelancongan Negeri sentiasa memberikan sokongan untuk memajukan industri pelancongan di negeri ini.
“Tahun lepas saya datang ke sini, naik bot lalu ikut dataran ini,  tidak ada apa-apa aktiviti yang dilakukan.
“Hari ini (7 Februari) sehingga esok, pelbagai program yang sangat menarik diadakan di sini, ” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pecah Panggung Dataran Batu Putih di sini semalam.
Apa yang menarik katanya, di dataran tersebut terdapat ‘floating market’ (pasar terapung) bersama program pelancongan lain.
Ini termasuk produk makanan tradisional seperti Lokan Bakar, Labu Feringgi Masak, Air Tuak Kelapa Matang, Manisan dan Pengat Pisang.
Di samping itu, terdapat juga pertandingan menangkap itik, pasar terapung dan lain-lain.
“Saya yakin Dataran Batu Putih akan mendapat sambutan yang lebih baik di masa akan datang,” ujarnya.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah Marang bekerjasama mempromosikan produk pelancongan daerah itu.
“Exco Pelancongan ada kaedah promosi di peringkat negeri secara menyeluruh khususnya Dataran Batu Putih.
“Kita (kerajaan negeri)  bercadang adakan program bulanan,  seperti program macam hari ini setiap bulan di peringkat awal,  maksudnya,  apabila orang sudah kenal Dataran Batu Putih mereka akan datang dengan sendirinya,” jelas beliau.
Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita
Jom kongsikan: