MARANG, 13 Februari – Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Rhu Rendang Sejahtera (KESRA) akan menjadi pusat sukan bagi anak muda di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dewan futsal yang sedia ada ini telah diubah suai dengan padang dan gelanggang baharu sebagai tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti sukan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua yang bertungkus lumus menyiapkan dewan futsal ini bagi kemudahan orang ramai.

“Walaupun asalnya tempat ini untuk anak muda, namun golongan lain termasuk orang tua, muslimat dan anak-anak juga turut dialu-alukan untuk menggunakan dewan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Futsal KESRA dan kejohanan sepak penalti terbuka di Kampung Paya, Kijing di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ahli Majlis Daerah Marang, Yusuf Abdul Hadi, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Hassan Awang dan Ketua Pemuda PAS DUN, Ziyad Zakaria.

Kejohanan sepak penalti terbuka yang disertai oleh 36 pasukan telah dijuarai oleh pasukan Hiliran Z86.

Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan dengan hadiah menarik seperti bola, jersi dan hamper disampaikan oleh Menteri Besar kepada pemenang.

Oleh : Aslam Wira | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: