SETIU, 7 Mac— Kerajaan negeri memanfaatkan ‘tempoh menunggu’ penularan COVID-19 untuk pulih dengan menjalankan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di lokasi-lokasi pelancongan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jumlah kedatangan pelancong yang berkurangan ekoran wabak itu terutama di pantai dan pusat peranginan membolehkan pelbagai prasarana dibaiki dan dicantikkan demi keselesaan pelancong kelak.

“Dalam masa beberapa bulan ini jumlah pelancong tidak ramai. Justeru tempoh sehingga wabak itu dapat dihapuskan yang disifatkan sebagai ‘tempoh menunggu’ ini kita manfaatkan untuk menambah infrastruktur dan membaiki tempat-tempat yang rosak.

“Selain itu kita juga boleh sediakan bahan-bahan pendidikan dan promosi untuk pelancong-pelancong apabila mereka datang ke Terengganu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Tanah Bencah Setiu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shariman Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia, Lim Chooi Kuan.

Sempena majlis itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk menanam pokok bakau, gotong-royong membersihkan kawasan tanah bencah dan ceramah mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Sementara itu, Ahmad Shariman berkata pihaknya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun selama tiga tahun bermula 2020 bagi mengurus serta melaksanakan pembangunan mapan di Tanah Bencah Setiu.

Sumber : BERNAMA

Jom kongsikan: