KUALA NERUS, 11 Februari – Kerajaan negeri komited dalam usaha untuk memperkasakan warga tempatan agar mereka mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan mengambil peluang yang diwujudkan hasil daripada limpahan ekonomi di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  pembangunan modal insan merupakan faktor yang penting  bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Terengganu.

“Saya difahamkan ECERC menumpukan kepada bimbingan akademik dan latihan kemahiran dan keusahawanan untuk melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi, sekali gus mencorak budaya keusahawanan di negeri ini.

“Setakat ini, lebih 17,000 peserta B40 yang terdiri daripada pelajar, belia menganggur, kaum wanita terutamanya suri rumah, ibu tunggal dan usahawan sedia ada telah menerima manfaat daripada program empower ECER di Terengganu

“Para pelajar telah berjaya meningkatkan prestasi akademik mereka manakala peserta dewasa berjaya mendapat pekerjaan yang lebih baik atau menjadi usahawan yang berdaya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Dan Penyampaian Anugerah empower Ecer Terengganu 2019 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Dalam majlis berkenaan seramai 800 orang peserta empower ECER yang telah berjaya menamatkan kursus mereka menerima sijil masing-masing.

Manakala seramai 11 orang peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan akan menerima Anugerah Usahawan empower ECER Terengganu serta 15 pelajar akan menerima pengiktirafan Anugerah Juara empower ECER kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun lepas.

Beliau juga berkata  ECERDC telah membangunkan 2,499 usahawan sedia ada mikro dan SME, yang mana 25 peratus daripada mereka kini memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000, 53 peratus memperoleh RM10,000 hingga RM100,000, manakala 22 peratus mencatatkan jualan bulanan purata melebihi RM100,000.

Oleh : Mastura Jamal Din | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: