HULU TERENGGANU, 25 September – Kerajaan negeri terus melaksanakan salah satu manifestonya sebagaimana yang dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke 14 dalam  bentuk sumbangan kewangan sebanyak RM3.875 juta  kepada 103 Pondok Tahfiz Dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terdapat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata ini adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap usaha yang dilakukan oleh mereka yang telah berjuang dalam memartabatkan pembangunan insan dikalangan masyarakat.

Katanya, sumbangan kali pertama ini mencakupi untuk sekolah-sekolah pondok yang diusahakan dengan jerit perih mereka sendiri yang mana mereka mencari dan membangunkan tanah wakaf serta membina bangunan dengan kudrat hasil usaha mereka dan masih mengekalkan pengajian kitab mereka.

“Dan sekolah-sekolah pondok ini banyak melahirkan individu-individu serta tokoh-tokoh yang telah beri khidmat kepada masyarakat dalam membangunkan pembinaan insan bukan hanya di Terengganu tetapi juga di luar negeri.

“Bahkan mereka menyambung pengajian yang lebih tinggi di institusi –institusi terkenal di seluruh dunia dan kembali berkhidmat di tanahair mereka sendiri atau di luar negeri Terengganu.Oleh itu, kerajaan melahirkan rasa prihatin untuk memberi sumbangan setakat kemampuan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pondok Tahfiz Dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Serta Majlis Pelancaran Program Latihan Kemahiran Di Pondok Tahun 2019 di Pondok Ibtida’i Ajil, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. ahmad Samsuri Mokhtar dengan penyerahan sembilan replika cek kepada wakil institusi pondok, tahfiz dan SAR yang berdaftar dengan pihak kerajaan negeri.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin;; Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi  Arshad dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Johan Ibrahim.

Satiful berkata sumbangan ini turut merangkumi pusat-pusat tahfiz al-Quran ,sama ada yang bergabung dengan pendidikan konvensional mahupun dengan maahad tahfiz yang sedia ada yang dibina daripada sumbangan wakaf dan derma dari kalangan masyarakat.

Oleh : Mastura Jamal Din | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: