KUALA TERENGGANU, 9 November – Masjid Tengku Tengah Zaharah dipilih sebagai Masjid terbersih Terengganu sempena program Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Terapung mengalahkan Masjid Bukit Payong, Marang serta Masjid Kampung Pasir Simpul, Hulu Terengganu yang mendapat tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan Kebersihan dan Keceriaan untuk institusi masjid.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Anugerah tersebut adalah untuk menghargai usaha institusi itu dalam menjaga kebersihan dan juga sebagai contoh kepada masjid-masjid lain untuk terus menceriakan kawasan persekitaran masing-masing.

Timbalannya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, anugerah berkenaan adalah pemangkin semangat kepada pihaknya terus bekerja mendidik masyarakat.  

“Alhamdulillah, ini juga sebagai satu pengiktirafan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang lama dan baharu yang bertungkus lumus menjaga kebersihan.

“Selain itu, kita juga menjayakan kempen kerajaan Negeri yang mahukan kebersihan adalah aspek yang penting bagi merealisasikan Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya ketika ditemubual pemberita dalam majlis berkenaan hari ini.

Bagi kategori surau, Surau Haji Yusof Kampung Nibong dipilih sebagai surau terbersih manakala Surau Nurul Amin, Tok Jembal serta Surau Al-Hijrah, Marang di tempat kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayu Kelat, Besut dipilih sebagai Tanah Perkuburan terbersih manakala tempat kedua dan ketiga diberikan kepada Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Gebok, Hulu Terengganu dan Kampung Bintang, Setiu.

Bagi pertandingan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini pula, johan diberikan kepada Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Risda Negeri Terengganu untuk kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, dan Masjid Al-Hijrah, PPR Hiliran dipilih dalam kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu mengungguli kategori Sekolah Menegah, IPTA dan IPTS.

Oleh : Fidee Aziz | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: