PASIR GUDANG, 23 Februari – Lebih 300 anak-anak negeri menyambut kedatangan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Majlis Ramah Mesra Persatuan Anak-anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Johor di Pasir Gudang, semalam.

Majlis yang berlangsung di TS Hotel yang pada awalnya dijangka dihadiri skala kecil anak rantau, menerima sambutan luar jangkaan anak-anak negeri di Johor.

Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua PERANTAU Johor, Zulkifli Ibrahim dan Presiden PERANTAU, Prof. Dr. Kamaruzzaman Yusoff yang mengalu-alukan kehadiran ramai serta menyeru penyertaan lebih ramai dalam persatuan untuk mengukuhkan muafakat anak negeri.

Dr. Samsuri ketika berucap pada majlis tersebut menyatakan rasa terima kasih atas sambutan yang diterima.
“Walaupun majlis petang ini akan menjadi pertemuan yang ringkas, tetapi anggaplah ini pertemuan kita yang pertama dan bukan yang terakhir.
“Insya-Allah, kita akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak Terengganu di perantauan terutamanya dari Johor ini,” katanya.
Majlis anjuran PERANTAU Johor dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu itu memberi peluang kepada anak-anak negeri untuk mengenali lebih dekat pemimpin negeri itu.
Selain itu, anak-anak negeri berpeluang bersoal jawab bersama kepimpinan negeri yang memberi lebih maklumat dan penjelasan tentang pentadbiran Terengganu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman serta Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita
Jom kongsikan: