PEMANDANGAN bendang terbentang luas dengan padi menghijau dan menguning apabila sudah masak dengan berlatar belakangkan bukit-bukau tampak begitu indah dan tenang.

Dengan burung berterbang bebas, angin bertiup sepoi, sesiapa yang berada melintasi kawasan sawah padi ini pasti mengujakan.

Bagi individu yang ingin merasai pengalaman turun ke sawah dan mengetam padi, boleh kunjungi Marang, Terengganu yang menyediakan pakej ‘pelancongan pengalaman’.

Ini adalah antara satu lagi produk produk pelancongan baharu bagi menarik kehadiran ramai ke negeri itu dengan pengenalan pakej ‘pelancongan pengalaman’ di kawasan sawah padi seluas 300 hektar di beberapa perkampungan daerah Marang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong, berkata pelancong yang datang ke Marang berpeluang melakukan aktiviti tradisional ‘mengetam padi’ yang kini semakin pupus berikutan kecanggihan teknologi dalam bidang pertanian.

“Marang mempunyai banyak perkampungan tradisional yang memiliki keunikan tersendiri contohnya penanaman padi berskala besar di beberapa lokasi seperti di Kampung Tuman, Kampung Bukit Kolam dan Kampung Jejulong.

“Sebelum ini memang ada pelancong yang datang untuk merasai sendiri pengalaman ‘mengetam padi’, namun promosinya akan diperhebatkan lagi selepas ini supaya Marang terus menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara terutama kumpulan pelancong yang ingin menikmati percutian berasaskan alam semula jadi,” katanya ketika merasmikan Program ‘Ngetam Padi’ di Kampung Tuman, baru-baru.

Mengetam padi ialah proses memisahkan padi yang matang dari batangnya menggunakan satu peralatan khas untuk memotong sebelum ia dileraikan menjadi beras.

Bagi mencapai matlamat itu, komuniti kampung terbabit perlu menyahut cabaran yang diberi kerajaan negeri dan Pejabat Daerah Marang supaya mereka turut memainkan peranan dalam mempromosikan pakej ‘pelancongan pengalaman’ itu dengan lebih proaktif.

Beliau berkata, komuniti kampung ini boleh mengambil pendekatan yang diambil komuniti sekitar Dataran Batu Putih yang terletak berhampiran, yang terbukti telah berjaya menjadikan dataran itu sebagai satu produk baharu tarikan pelancongan di Terengganu.

“Kerajaan negeri akan membantu komuniti di sini mempromosikan ‘pelancongan pengalaman’ itu agar mampu menjana ekonomi setempat yang secara tidak langsung akan membuka peluang keusahawanan kepada mereka,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Jom kongsikan: