KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Individu yang bakal dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik diminta mengkaji semula cadangan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berpandangan penggabungan universiti tersebut merupakan satu proses yang merugikan, kurang strategik serta tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Katanya, tugas sebagai Menteri Pendidikan adalah salah satu tugasan di kementerian yang paling mencabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat berbanding kementerian lain.

“Oleh kerana itu kami mengharapkan Menteri Pendidikan yang baharu  dan akan dilantik nanti memahami keperluan untuk meletakkan keutamaan dalam dasar pendidikan negara.

“Termasuk dengan menjadikan apa yang telah ada dalam perlembagaan itu sebagai asas dari segi bahasa melayunya, dasar pendidikan kebangsaan, dan lain-lain perkara tanpa menafikan hak-hak kelompok minoriti untuk kebebasan isu pendidikan ini.

“Tetapi haruslah melihat kepentingan umum dan majoriti serta mengelakkan daripada melakukan apa-apa kontrovesi,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan Dr Mazlee selepas menyempurnakan majlis penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya,  apa juga dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kementerian pendidikan haruslah dilakukan konsultasi dan perlu mendapatkan maklumat lengkap sebelum diperkenalkan untuk mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat.

Oleh : Noraini Jusoh | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: