Category :

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau aktiviti industri dan kilang berisiko bagi mengelak pencemaran seperti di Pasir Gudang, Johor, berlaku di negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata walaupun zon perindustrian di Terengganu dalam kawalan baik, pihaknya mengakui ada menerima aduan terutama mengenai pencemaran bau daripada kilang tertentu di beberapa tempat yang menjejaskan penduduk.

“Kawasan perindustrian dan zon kilang di negeri ini mematuhi syarat ditetapkan termasuk dalam aspek zon penampan, cuma kita mahu siasat jika ada yang melanggar undang-undang.

“Apabila berlaku tragedi seperti di Pasir Gudang, baru kita nak dapatkan pengesahan. Oleh itu, kita minta PBT di Terengganu lakukan pemantauan dan siasatan supaya perkara sebegini tidak berlaku sehingga menjejaskan imej negeri.

“Walaupun kawasan perindustrian ini mematuhi syarat ditetapkan termasuk dari segi jarak kilang dengan kawasan penempatan, kita tetap menerima aduan terutama di laman sosial mengenai pencemaran bau daripada aktiviti beberapa kilang di negeri ini.

“Oleh kerana proses dalam kilang itu membabitkan bahan yang mengeluarkan bau lebih kuat, ia menjejaskan keselesaan penduduk.

“Kita sudah berbincang dengan kilang dan syarikat berkenaan untuk mengambil langkah meneutralkan bau tidak menyenangkan itu,” katanya selepas majlis makan malam amal media anjuran Unit Media Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Terengganu dan Kumpulan Media Aktivis Independen (KAMI) di sini, malam tadi.

Ahmad Samsuri mengulas laporan eksklusif BH mengenai zon perindustrian yang dikesan boleh menjadi ‘bom jangka’ yang mendedahkan penduduk kepada pelbagai pencemaran, termasuk pelepasan gas beracun.

Tinjauan BH di setiap negeri mendapati, kebanyakan zon perindustrian yang dahulunya diwujudkan jauh dari kawasan penduduk, kini tidak lagi sesuai apabila kedudukannya semakin hampir sehingga ada yang jaraknya hanya 300 meter hingga 500 meter.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengikut peraturan dengan melaksanakan pengasingan kilang di zon tertentu terutama membabitkan industri berat seperti kilang pemprosesan bahan kimia, gas dan petroleum, petrokimia, perkayuan dan besi serta aluminium.

Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: