KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kerajaan negeri menjelaskan penswastaan parkir berbayar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan langkah terbaik bagi mengatasi kerugian pihak berkuasa tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, MBKT berdepan kerugian selama beberapa tahun disebabkan sistem manual yang digunakan banyak mengalami kerosakan.

“Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019.

“Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta. Tetapi, kos operasi berterusan kita tinggi sehingga menyebabkan defisit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr Alias turut memaklumkan, kerajaan negeri mengambil inisiatif memperbaharui sistem kepada digital dengan penjimatan melalui penswastaan.

“Langkah ini lebih efisien dan memberi untung tetap kepada MBKT serta kita tidak dibebankan dengan cas servis.

“Daripada 70 orang kakitangan, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen,” katanya.

Terdahulu, syarikat Vista Summerose  Sdn. Bhd. terpilih melalui tender terbuka untuk menguruskan sistem digital parkir berbayar MBKT bagi lebih 6,000 tapak parkir di ibu negeri itu.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: