KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menswastakan kira-kira 6,000 tempat letak kereta bahu jalan adalah untuk menjana keuntungan baharu di samping menghapuskan kerugian yang dialami pihak berkuasa tempatan itu sejak empat tahun terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, MBKT kerugian lebih RM2.4 juta ekoran peningkatan kos perbelanjaan operasi termasuk membaiki kerosakan.

Katanya, dengan penswastaan tersebut pihak berkuasa tempatan itu tidak lagi perlu menanggung kerugian sebaliknya akan menerima bayaran sekitar RM1.3 juta setahun manakala segala kerosakan pula akan ditanggung oleh syarikat terbabit.

“Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019.

“Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta, tetapi, kos operasi (OPEX) yang tinggi menyebabkan defisit, tidak betul kalau kita hanya kira pendapatan tanpa mengira OPEX,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman semalam.

Dr Alias turut memaklumkan, pihaknya telah melakukan beberapa inovasi dalam sistem tersebut namun MBKT tetap mengalami kerugian.

“Jadi atas sebab itu kita memikirkan kaedah lain iaitu penswastaan, ditambah pula kita tidak dibebankan dengan servis dan kerosakan,” katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Dr Ahmad Said.

Tambahnya lagi, daripada 70 orang kakitangan asal pengurusan parkir MBKT, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: