SETIU: Para pesawah dan pihak yang terlibat dengan penghasilan beras di negeri ini sudah boleh menarik nafas lega apabila Kilang Padi Konsortium Kilang Padi PP Terengganu Sdn Bhd akan mula beroperasi pada hujung April ini.

EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim kilang terletak di Kampung Dalam Oh, Jabi, di sini mempunyai kemampuan pemprosesan padi sehingga 400 tan metrik sehari.

“Dimaklumkan ini adalah antara kilang padi dengan penggunaan teknologi termoden dalam negara melibatkan kos RM25 juta. Dengan pembukaan kilang ini, maka satu isu besar kekurangan kilang padi yang membelengu pesawah di negeri Terengganu telah dapat diselesaikan.

“Sebelum ini, masalah kilang padi yang tidak dapat menampung keperluan pengeluaran setempat menyebabkan padi dari Terengganu terpaksa dihantar untuk diproses di negeri Kedah. Ia melibatkan kos tambahan dari segi pengangkutan dan logistik.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Lembaga Pertubuhan Peladang atas usaha yang sangat dihargai bagi memajukan lagi industri padi beras di Terengganu,” ujarnya.

Sumber : Harakahdaily

Jom kongsikan: