KUALA TERENGGANU, 24 Disember– Tindakan syarikat milik kerajaan negeri, Top It Industries Sdn Bhd tidak menawarkan kontrak baharu kepada 51 Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) adalah bersebab.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman menegaskan, kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan tersebut tetapi telah menilai beberapa kriteria sebelum dimuktamadkan dalam keputusan mesyuarat Exco sebelum ini.

Katanya, kontrak 51 EIO yang tidak disambung itu kebanyakannya disebabkan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

 “Antaranya, hanya mempunyai sijil sedangkan EIO perlu sekurang-kurangnya memiliki diploma atau ijazah.

“Selain itu, ijazah yang dimiliki tiada kaitan dengan Sains Komputer,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai penamatan kontrak 51 EIO pada sidang media sempena Majlis Perasmian Penutup Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah Ariffin, masalah displin juga turut diberi perhatian walaupun hanya segelintir yang terlibat.

“Inilah antara kriteria yang kita nilai sebelum membuat keputusan, walaupun ada yang membuat rayuan setakat ini, inilah keputusan yang telah diputuskan dalam mesyuarat Exco,” ujarnya.

Katanya, tindakan tersebut juga sebenarnya terpaksa diambil memandangkan bilangan EIO terlalu ramai iaitu hampir 400 orang.

Dalam pada itu, Ariffin turut berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan oleh netizen kerana semuanya sudah jelas.

Oleh : Noraini Jusoh | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: