Category :

KUALA TERENGGANU: Penyatuan antara Pas dan UMNO dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) bukan kerja mudah selepas puluhan tahun kedua-dua parti berkenaan hidup berbalah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan itu tentunya menyebabkan proses mendekatkan dan menyejukkan hubungan dalam kalangan kepemimpinan mahu pun akar umbi mengambil masa.

Bagaimanapun, beliau optimis sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing, pastinya rakyat akan dapat menikmati hasil penyatuan yang digerakkan itu.

“Semalam merupakan ulang tahun kedua Piagam MN yang menjadi pencetus penyatuan umat Islam dan orang Melayu, walaupun baharu dua tahun, tetapi usaha merapatkan Pas-UMNO tetap digerakkan seinci demi seinci.

“Dalam usaha ini pasti banyak yang perlu dipertimbangkan dan menyentuh sedikit-sebanyak kepentingan, namun sebarang perbezaan dan salah faham wajarlah diuruskan dan diluruskan di meja perundingan serta perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, penyatuan antara Pas-UMNO merupakan sesuatu yang dikehendaki oleh rakyat terutama mereka yang sudah bosan dengan politik konfrontasi dan perlawanan.

“Rakyat mahukan politik yang matang dan memberikan kesejahteraan buat mereka.

“Suasana yang ada pada hari ini membawa kita untuk menerima kerjasama politik dan ia merupakan pendekatan yang terbaik setakat ini bagi menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan negara terutama membabitkan parti-parti Melayu-Islam,” katanya.

Oleh : Rosalinda Md Said | Sumber : Utusan

Jom kongsikan: