Category :

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Kerajaan negeri mengumumkan bahawa tidak ada lagi perayaan di peringkat semua jabatan  di Wisma Darul Iman (WDI) dan daerah seluruh Negeri Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya berkata, kerajaan negeri akan mengadakan hanya satu sahaja majlis hari raya peringkat negeri dan daerah bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Katanya, arahan ini juga berkuatkuasa kepada semua kelab kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja WDI Bagi Bulan Mei 2019 di Dewan Besar WDI, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin, Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Haji Zainal Abidin Mohd dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Di majlis yang sama, turut diadakan Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Bulanan Kakitangan WDI, Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam, Sijil Penarafan Bintang SSR Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2018, Sijil Kecemerlangan KPI HRMIS Tahun 2018 dan Sijil The Malaysian Book Of Record Bagi Program Terengganu Go Clean 2019.

Seterusnya A.Rahman meminta semua kakitangan kerajaan negeri menilai semula semua sasaran kerja tahunan yang dibuat mulai awal tahun ini agar ia mencapai sasaran dikehendaki sempena setahun pentadbiran kerajaan baru.

“Jadi, saya meminta kerjasama semua kakitangan kerajaan supaya dapat melihat balik apa yang ditulis dan kaji balik supaya sesuai dengan apa yang telah kita lakukan.

“Saya tekankan supaya kerja kita berada di landasan yang betul (on the track), tidak meraba tetapi menepati sasaran yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Ini kerana katanya, kerja menepati sasaran itu penting supaya integriti dan amanah kerja dapat dilakukan dengan baik.

Beliau juga meminta supaya kakitangan kerajaan negeri mengemaskini sistem ‘My Portfolio’ kerana terdapat carta aliran kerja di dalamnya.

“Dalam ‘My Portfolio’ ada tercatat aliran kerja kita di mana yang kita perlu tambah baik kita perlulah tambah baik,” ujarnya.

Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: