Aidiladha : Ujian Dan Pengorbanan Di Ambang Pemulihan

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih memberikan kesempatan dan peluang untuk kita terus bernafas pada hari ini, dan meraikan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang sederhana.

Tahun 2021 merupakan tahun kedua umat Islam yang berada di Malaysia tidak dapat menunaikan ibadat haji. Ianya amat menyedihkan namun sebagai umat Islam, ujian COVID-19 ini seharusnya membuatkan kita lebih menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan setiap ujian yang datang.

Kini, sudah menjangkau lebih setahun negara Malaysia dan dunia bertarung menghadapi pandemik ini. Pastinya pelbagai ujian dan pengorbanan terpaksa dilalui dan dirasai oleh setiap daripada kita, rakyat biasa mahupun pemimpin negara.

Bagaimanapun, kerajaan sedang berusaha untuk mengeluarkan kita semua daripada belenggu ini. Pelbagai inisiatif dirangka bagi membantu memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat tercinta.

Terbaharu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bukan hanya merangkumi pakej rangsangan ekonomi, tetapi merupakan satu pelan holistik yang sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.

Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang diumumkan pada 2 Jun lalu adalah nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan sepanjang pandemik dan kini masih berjalan di setiap kawasan peringkat DUN.

Saat ini juga dapat dilihat kerjasama dan keprihatinan pelbagai pihak sama ada swasta, NGO mahu pun individu untuk membantu mereka yang memerlukan. Inilah kekuatan rakyat Malaysia yang amat saya kagumi. Saya yakin, jika kita terus bersatu hati, insya-Allah kita mampu bangkit menghadapi setiap cabaran.

Terima kasih kepada semua pihak terutamanya barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus menghapuskan wabak COVID-19. Insya-Allah, dengan pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini akan menemukan kita dengan suatu kejayaan yang diimpikan.

Akhir kata, mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu. Semoga ibrah daripada sambutan hari raya tahun ini mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT.

‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
20 Julai 2021 / 10 Zulhijjah 1442H

Jom kongsikan: