Category :

KUALA TERENGGANU, 11 Julai– Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini melancarkan kempen Selamatkan Laut Kita yang bertujuan memupuk kesedaran dalam diri nelayan mengenai kepentingan menjaga kebersihan laut dan persisir pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bertemakan ‘Jangang Tohok Sapoh Llaut’, Terengganu merupakan negeri pertama mengadakan kempen berkenaan dengan mengharapkan supaya sampah yang dihasilkan nelayan tidak lagi dibuang ke laut sebaliknya dibawa ke darat untuk dilupuskan.

 “Berdasarkan jumlah bot yang berdaftar dengan JPNT pada tahun 2018 sebanyak 2,578 buah, jika sebuah bot membuang sampah dengan anggaran sekilogram yang terdiri daripada pembungkus makanan, botol dan beg plastik dari bekalan makanan yang dibawa ketika beroperasi di laut, dijangkakan hampir 2,578 kilogram sampah telah dihasilkan sehari.

 “Jika sampah-sampah ini tidak dikembalikan semula ke darat dan laut terus dijadikan tong sampah, dianggarkan dalam tempoh setahun, nelayan di negeri ini akan membuang sampah sebanyak 940 metrik tan ke laut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Selamatkan Laut kita Dan Penyerahan Projek Unjam EAFM Daerah Kuala Terengganu di Jeti Nelayan Kampung Pulau Duyong, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali.

Menurut beliau, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memberikan amaran bahawa menjelang tahun 2050, jika keadaan ini berterusan dijangkakan laut akan mengandungi lebih banyak sampah sarap berbanding ikan yang merupakan sumber pendapatan kepada nelayan.

“Sehingga kini, hampir 170 juta metrik tan sampah berupa plastik hanyut yang kelihatan seakan obor-obor di lautan sehingga disalah anggap sebagai makanan oleh haiwan seperti penyu, ikan paus, ikan lumba-lumba dan sebagainya dan ini merupakan suatu yang sangat membimbangkan kerana ianya menjadi ancaman serius kepada habitat laut.

Katanya, fokus kerajaan negeri untuk menyelamatkan laut daripada sisa-sisa sampah dan langkah proaktif itu diambil bagi mewujudkan kesedaran di kalangan nelayan termasuk dengan menyediakan tong sampah di setiap jeti di seluruh negeri ini.

Justeru katanya, menerusi kempen tersebut diharap dapat mendidik nelayan supaya dapat membuang tabiat menjadikan laut sebagai tong sampah dan dapat bersama-sama JPNT memikul tanggungjawab menjaga sumber dan perairan laut negeri ini untuk manfaat bersama.

“Kita turut menggalakkan komuniti nelayan memberi tumpuan terhadap kebersihan pantai dengan mengadakan program gotong-royong dan sebagainya,” ujarnya.

Oleh : Noraini Jusoh | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: