SETIU, 13 Julai – Kerajaan negeri sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat Terengganu dari masa ke masa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan negeri.
“Cuma dari segi keutamaan itu dinilai sebelum sesuatu dilaksanakan.
“Ini kerana, kerajaan negeri berada dalam keadaan ‘suntuk’ untuk tempoh dua tahun ini apabila Kerajaan Persekutuan memberi duit royalti dengan potongan hutang 25 peratus menyebabkan pengurangan dana sebanyak RM 800 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Temu Murni Tingkatan Satu hingga Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, perkara itu sedang ditangani sebaik mungkin oleh kerajaan negeri.
“Kita tidak panik dengan masalah ini kerana ada benda kita boleh susun atur dari segi pentadbiran supaya perjalanan negeri kita dapat berjalan seperti biasa.
“Masuk tahun ketiga nanti, pengurusan kewangan akan dibuat lebih baik untuk rakyat, insya-Allah,” katanya.
Dalam program itu, Dr. Azman sempat menyampaikan nasihat berkenaan usaha guru dan ibu bapa dala membangunkan prestasi pelajar.
“Ringankanlah bibir kita untuk mengungkapkan terima kasih atas tungkus-lumus dan usaha guru dan ibu bapa.
“Ingatlah bahawa bakat, kebolehan dan kecerdikan terpendam pelajar selalunya berjaya dicungkil dan dicorakkan para guru dengan bantuan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sehingga mampu dimanfaatkan di peringkat tertinggi,” katanya.
Sebagai rekod, Sekolah Kebangsaan Renek merupakan antara sekolah terbaik di daerah Besut.
Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan, awal tahun ini menyaksikan sekolah itu berkedudukan antara yang teratas.
Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita
Jom kongsikan: