BESUT, 4 November –  Satu hari dalam seminggu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera bersama masyarakat kampung sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di kawasannya.

Wakil rakyatnya, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia adalah salah satu inisiatif ke arah mencapai objektif iaitu untuk meningkatkan kepuasan hati masyarakat terhadap perkhidmatan ADUN.

“Dengan pertemuan sebegini dapat memberi ruang untuk penduduk kampung mendapatkan sebarang penjelasan mengenai apa-apa laporan ataupun penjelasan yang telah mereka buat.

“Penduduk kampung juga boleh menjadikan pertemuan ini sebagai satu saluran atau medium untuk mengemukakan apa jua pandangan yang difikirkan baik dan sesuai untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, berkata demikian ketika bersama penduduk kampung yang hadir di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kota Putera baru-baru ini.

Justeru itu, beliau berharap dengan perjumpaan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban para penduduk kampung.

“Hari bertemu ADUN akan dibuat secara mingguan jika saya berada di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera.

“Maklumat itu, akan diberitahu kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk dimaklumkan kepada warga setempat,” tambah beliau.

Oleh : Mustaqim Afandi | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: